Pejabat Konsulat Amerika Syarikat di Guangzhou, China

WASHINGTON – Amerika Syarikat membawa sekumpulan diplomat Amerika Syarikat pulang dari Guangzhou China selepas mengalami penyakit misteri yang dikatakan menyerupai ‘kecederaan otak’ seperti mana yang dialami oleh kakitangannya di Kedutaan Cuba.

Jurucakap Jabatan Negara, Heather Nauert berkata, pihaknya telah mengarahkan satu pasukan untuk melakukan siasatan terhadap kakitangan-kakitangan dan keluarga konsulat selepas salah seorang kakitangannya mengalami masalah itu.

“Hasil daripada proses pemeriksaan, jabatan telah menghantar beberapa individu untuk membuat penilaian komprehensif mengenai gejala dan penemuan mereka ke Amerika Syarikat.

“Para profesional perubatan akan melakukan penilaian penuh untuk menentukan punca gejala yang dilaporkan dan sama ada penemuan itu selari dengan dakwaan kakitangan yang mengalami masalah itu atau pun ia tidak ada kaitan,” kata Nauert.

Tahun lalu, seramai 24 orang kakitangan dan keluarga diplomat di Kedutaan Cuba mengalami simptom gegaran dan kecederaan otak traumatik ringan, menurut Jabatan Negara.

Penyakit dalam kalangan diplomat Amerika Syarikat yang ditempatkan di Havana itu menimbulkan ketegangan. – MalaysiaGazette