Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan pada sidang media mengenai penganjuran Karnival dan Kayuhan Merdeka Polis Selangor di Shah Alam, Selangor. Foto QURRATU AINI, 22 OGOS 2023.

SHAH ALAM – Polis Selangor menawarkan diskaun saman sebanyak 50 peratus kepada orang ramai sempena Karnival dan Kayuhan Merdeka Polis Selangor yang akan diadakan di Tapak Karnival Stadium Shah Alam pada 26 Ogos ini.

Ketua Polis Selangor, Komisioner Datuk Hussein Omar Khan berkata, tawaran diskaun itu diguna pakai untuk saman tanpa had tahun di seluruh negara.

Bagaimanapun, tambah beliau, saman-saman berkompaun mandatori, perbicaraan mahkamah, enam kesalahan utama yang melibatkan kompaun mahkamah serta saman kemalangan terkecuali daripada tawaran diskaun tersebut.

“Orang ramai khususnya warga Selangor boleh mengambil bahagian dalam program sambutan Karnival dan Kayuhan Merdeka PDRM Selangor itu dan menikmati diskaun saman sebanyak 50 peratus bermula jam 7 pagi hingga 7 malam sahaja,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, hari ini.

Sementara itu, Hussein berkata, karnival yang dianjur IPK Selangor itu mensasarkan 2,500 peserta dan sejak dibuka hari ini seramai 1,200 individu menyatakan komitmen untuk menyertai acara berbasikal itu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar (tengah) bercakap pada media menegnai PDRM Selangor Merdeka Ride & Karnival 2023 di IPK Selangor. Foto QURRATU AINI, 22 OGOS 2023.

“Kita membahagikan kayuhan Merdeka ini kepada dua kategori iaitu kategori VIP membabitkan jarak 10 kilometer manakala kategori terbuka melibatkan jarak kayuhan sejauh 30 kilometer dengan yuran penyertaan RM70 yang akan disediakan dengan kemeja pertandingan dan sebagainya.

“Selain itu, kita juga membuka ruang pameran kereta dan motosikal klasik, trak makanan, 80 cabutan bertuah membabitkan pelbagai hadiah menarik yang menanti peserta dan pengunjung ke karnival itu Sabtu ini.

“Untuk pendaftaran orang ramai boleh mendapatkan borang penyertaannya dengan mengimbas kod bar yang disediakan dalam laman web rasmi PDRM Kontinjen Selangor mengenai karnival dan kayuhan merdeka ini,” katanya sambil menambah tarikh akhir pendaftaran ialah 25 Ogos ini.

Hussein berkata, karnival yang dianjurkan julung kali itu bertujuan menyemarakkan semangat patriotik selain mengeratkan hubungan silaturrahim dan keharmonian antara masyarakat.

Tambah beliau, beberapa jalan akan ditutup sempena karnival tersebut. – MalaysiaGazette