Parlimen
Bangunan Parlimen

KUALA LUMPUR – Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) dan Jawatankuasa Pemandu Transformasi dan Kestabilan Politik hari ini mencapai kata sepakat mengenai beberapa tindakan susulan berkaitan undang-undang yang melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti bagi maksud pembentangan dalam sidang khas Parlimen pada 11 April ini.

Dalam kenyataan bersama Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Pengerusi bersama jawatankuasa berkenaan, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, antara perkara telah dipersetujui kedua pihak adalah untuk memberi sokongan kepada pindaan Perlembagaan Persekutuan melibatkan penggubalan punca kuasa di bawah Perkara 10 bagi memberi kuasa untuk penggubalan akta baharu berkaitan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti.

Kata kenyataan itu, draf awal akta tersebut akan diedarkan untuk penelitian ahli Jawatankuasa Pemandu Tranformasi dan Kestabilan Politik sebelum sidang khas Parlimen pada Isnin ini.

“Selain itu, kedua pihak bersetuju untuk satu lagi sidang khas Parlimen diadakan untuk membentang, membahas dan meluluskan undang-undang berkaitan dalam masa terdekat yang akan diumumkan Perdana Menteri, selaras dengan Peraturan 11 (3) Peraturan-Peraturan Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

“Menteri juga menjelaskan, sidang khas Parlimen yang dijadualkan pada 11 dan 12 April ini akan diteruskan seperti yang dirancang untuk membentang dan membahaskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022.

“Kedua pihak menyatakan komitmen akan memberi sokongan bagi membolehkan Rang Undang-Undang ini mendapat majoriti dua pertiga dalam sidang khas Parlimen pada 11 dan 12 April ini,” kata kenyataan itu kepada media, hari ini. – MalaysiaGazette