Dua pemuda ditemukan mati di dalam sebuah kereta yang enjin masih hidup di tepi jalan di Kampung Jaya Baru dekat sini, hari ini.
Dua pemuda ditemukan mati di dalam sebuah kereta yang enjin masih hidup di tepi jalan di Kampung Jaya Baru dekat sini, hari ini.

KINABATANGAN – Dua pemuda ditemukan mati di dalam sebuah kereta yang enjin masih hidup di tepi jalan di Kampung Jaya Baru dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan Supt A. Sahak Rahmat berkata mangsa dikenali sebagai Mohd.Fitri Bin Haimin, 19, beralamat di Perumahan Pekerja Bukit Mas Palm Oil, Lahad Datu dan Mohd Helmi Bin Muhammad, 19, beralamat di Kampung Desa Bajau, Peringkat 3, Jalan Tengah Nipah, Lahad Datu.

Katanya polis dimaklumkan oleh orang awam pada jam 11.46 pagi mengenai sebuah kereta yang di dalamnya terdapat dua lelaki yang seperti sedang tidur diletakkan di tepi jalan di Kilometer 80 Jalan Kinabatangan-Lahad Datu itu.

Menurutnya sebaik sahaja menerima maklumat tersebut, sepasukan anggota polis pergi ke kawasan itu dan tiba di tempat kejadian menjumpai sebuah kereta Proton Myvi dengan Nombor Plat Pendaftaran AGA 5240 warna putih diletakkan di tepi jalan.

Enjin kereta masih hidup dan terdapat dua lelaki di kerusi hadapan dalam keadaan berbaring dan setelah diketuk cermin dan pintu kenderaan, kedua dua lelaki tersebut langsung tidak bergerak, katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

A. Sahak berkata usaha membuka pintu gagal dan anggota Bomba dan Penyelamat dari Balai Kinabatangan yang turut ke lokasi kejadian membantu membuka pintu kereta tersebut.

Beliau berkata pemeriksaan awal tiada kecederaan luaran pada kedua-dua lelaki itu dan pemeriksaan dijalankan oleh Pegawai Perubatan Hospital Kinabatangan mengesahkan kedua-dua pemuda itu sudah mati.

Menurutnya mayat kedua-dua lelaki itu dibawa ke Hospital Kinabatangan untuk bedah siasat pagi esok.

— BERNAMA