Pengerusi Ekuinas, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda menyerahkan replika cek kepada Pengerusi Permodalan Nasional Bhd (PNB), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz sambil disaksikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. Foto Ekuinas.

KUALA LUMPUR- Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas) mengagihkan RM120 juta daripada keuntungannya kepada Yayasan Pelaburan Bumiputra (YPB) untuk manfaat pemegang unit Bumiputera dalam dana amanah yang diuruskan oleh Permodalan Nasional Bhd (PNB).

Majlis disaksikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pengagihan berjumlah RM120 juta itu adalah sebahagian daripada keuntungan bersih Ekuinas setelah penutupan Ekuinas Direct Fund (Tranche I) sekali gus menjadikan jumlah pengagihan yang telah diagihkan kepada PNB sebanyak RM320 juta, selepas RM200 juta yang diagihkan pada 2014.

Ketua Pegawai Eksekutif Ekuinas, Syed Yasir Arafat Syed Abd Kadir, berkata prestasi Ekuinas sehingga ke hari ini membuktikan model ekuiti persendirian (PE) memainkan peranan positif dalam menjana pertumbuhan ekonomi.

“Ini dapat dilihat melalui pencapaian kami yang berjaya menjana pulangan daripada pelaburan dan seterusnya mengagih keuntungan kepada masyarakat Bumiputera secara lebih meluas,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, PNB dikenal pasti sebagai institusi yang sesuai untuk disalurkan pengagihan kerana mempunyai platform terbaik memandangkan rangkaian pemegang unit amanah Bumiputera yang luas, sejajar dengan objektif sosial Ekuinas untuk meningkatkan kekayaan Bumiputera secara berkesan.

Ekuinas telah menubuhkan satu kerangka kerja untuk pengagihan yang menetapkan jumlah prinsipal yang diperoleh semula daripada pelaburannya akan dilabur semula untuk pelaburan masa hadapan.

Keuntungan yang dijana akan dibahagikan secara adil di antara memperluaskan aktiviti pelaburan selanjutnya dan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) di bawah ILTIZAM, dan lebihannya akan diperuntukkan untuk pengagihan kepada masyarakat Bumiputera.

Syed Yasir Arafat berkata, sejak 10 tahun lalu, keunikan model PE telah membuktikan keberkesanan Ekuinas dalam melaksanakan objektif komersial dan sosial.- MalaysiaGazette