Foto Instagram Elyana.

KUALA LUMPUR Penyanyi terkenal, Elyana mengakui dia sedang mengalami masalah pendengaran di bahagian telinga kiri.

Berkongsi perkembangan terkini dirinta di Instastory, Elyana memberitahu, masalah itu  dialaminya sudah bertahun dan kini terpaksa dimasukkan ubat di dalam telinga kirinya tersebut secara mengiring.

Jelas penyanyi lagu popular Kalis Rindu itu, dia perlu berjumpa dengan pakar telinga, hidung dan tekak (ENT) bagi pemeriksaan susulan permasalahan yang dialaminya, beberapa hari lagi.

“Saya perlu tidur mengiring kerana jururawat baru sahaja titikkan ubat dalam telinga sebelah kiri ini. Telinga saya sudah bertahun-tahun bermasalah serta hidung saya juga.

“Jadi, semalam pakar telinga dan mulut datang periksa. Dia memberi ubat titik dahulu.

“Dalam beberapa hari saya kena datang janji temu untuk membuat pemeriksaan lebih lanjut untuk bahagian telinga dan hidung,” kongsinya.

Mengulas lanjut, Elyana turut memberitahu mengalami pening dan berpusing yang dikatakan akibat masalah pendengaran dan pernafasan berkenaan.

“Selama ini pernafasan dan pendengaran saya memang tidak berapa jelas sangat. Saya rasa pening dan berpusing.

“Tak dengarlah, memang tidak. Dengar sebelah kanan sahaja, tidak seimbang. Nafas pun sama perlu periksa,” ujarnya.

Pada Julai lalu, Elyana, 34, telah menjalani rawatan radioterapi pada bahagian hati dan pinggul bagi mengubati penyakit kanser limfoma yang dihidapinya.

Sebulan sebelum itu, Elyana dimasukkan ke hospital bagi menjalani rawatan radioterapi sebanyak 10 sesi berikutan penyakit kanser limfoma yang dihadapi sudah merebak ke dada, paru-paru, belakang rahim, usus dan beberapa bahagian badan yang lain.

Elyana menghidap kanser limfoma sejak 2012 membuat pendedahan mengenai penyakitnya pada 2017 ketika tersingkir daripada program Gegar Vaganza musim keempat.

Pelakon filem Dunia Baru The Movie dan Dukun itu mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Khairul Anuar Husin pada 2010.

Mereka dikurniakan cahaya mata, Cinta Sumayyah, 10, dan Cahaya Ramadhani yang kini berusia dua tahun. – MalaysiaGazette