Aaron-Wooi Yik mengambil masa 52 minit untuk menundukkan beregu Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 17-21, 21-17, 21-14 dalam perlawanan penentuan pingat gangsa di Musashino Forest Sport Plaza, Tokyo, baru-baru ini.

MUNGKIN penganjuran sukan Olimpik edisi Tokyo 2020 adalah salah satu penganjuran yang mencetuskan pelbagai reaksi dan emosi bukan sahaja dari penduduk negara matahari terbit itu sendiri, tetapi juga penduduk dunia. Masih ramai yang ragu-ragu dengan kebolehan penganjuran acara sukan mega itu dikala jumlah kes COVID-19 yang semakin meningkat, namun masih ramai juga yang mengharapkan secebis harapan dan berita gembira buat atlet negara masing-masing.

Di kala negara dirundung pelbagai jenis kesukaran, kepahitan hidup hampir-hampir sahaja menyebabkan segelintir rakyat menjadi putus asa. Dan bagi yang lebih bernasib baik, mereka masih tidak terkecuali merasai bahang dan pedih kerana ibarat cubit peha kiri, peha kanan terasa juga. Tidak hanya di Malaysia, tetapi kepahitan dirasai hampir di seluruh pelosok dunia.

Di mana-mana, tentu sahaja ada rakyat yang dirasuk emosi menuntut kerajaan berbuat sesuatu bagi mengawal peningkatan kes atau lebih teruk lagi menghasut dan berarak mengatakan bahawa virus COVID-19 adalah rekaan kerana terpengaruh akan berita palsu. Perbuatan yang bertunjangkan emosi seperti ini pasti menyemarakkan kecelaruan bukan sahaja masyarakat berdekatan tetapi termasuk juga penduduk dunia yang membaca berita-berita negatif seperti ini.

Hakikatnya, kajian akademik berkaitan news value (nilai berita), menunjukkan berita yang bersifat negatif memang menjadi salah satu nilai bagi penulisan berita. Contohnya Jika ada berita-berita buruk seperti protes besar, atau pertikaman lidah ahli politik, tentulah berita ini menjadi tajuk utama menghiasi dada-dada akhbar. Tetapi dengan dunia yang menginjak hampir dua tahun dilanda pandemik, ditambah pula dengan pertelingkahan ahli politik serta isu vaksin yang tidak putus-putus sejak 2019, sepertinya rakyat dilanda ombak keresahan yang tidak berkesudahan.

Sudah sampai masanya untuk berkata : cukup-cukuplah dengan berita-berita buruk ini.
Namun tiada alternatif lain untuk beralih angin, kerana hakikatnya kehidupan harian kita kekal terjejas kerana pandemik justeru menjadikan segala yang kita lihat di media terkait dengannya. Kini, biarpun hanya sekadar sementara yakni 17 hari sahaja, kita disajikan sesuatu yang berlainan, acara yang sama tetapi rasa dan apresiasi yang jauh berbeza – Olimpik.

Sukan Olimpik 2020 hampir-hampir sahaja dibatalkan dan kini walaupun ia sedang giat berlangsung, ura-ura pembatalan masih wujud berikutan penigkatan kes yang terkait dengan Olimpik. Bermula 23 Julai dan bakal tamat 8 Ogos 2021, debaran pemburuan pingat semakin terasa dengan kejayaan beregu lelaki Aaron Chia-Sooh Wooi Yik yang memenangi pingat Gangsa pada 31 Julai 2021.

Harapan pingat turut disandarkan kepada atlet-atlet lain termasuklah, Pandelela, Cheong Jun Hoong dan Dato’ Mohd Azizulhasni bin Awang. Ada apa dengan Olimpik dan pingat-pingatnya? Bagi peminat sukan tegar mungkin pelbagai hujah akan mereka utarakan, tetapi bagi penonton biasa, Olimpik kali ini mungkin adalah lebih dari sekadar
pingat dan kilauan emas. Namun apa yang lebih bermakna daripada kutipan pingat adalah apabila aksi mereka mampu membuat kita turut tersenyum.

Antaranya aksi atlet Phee Jinq En yang dirakam secara spontan mengucapkan “penat gila” sambil tertawa kecil, sebelum dia memberi ulasan atas kejayaan memecahkan rekod kebangsaan ketika pusingan kelayakan Olimpik (sumber: Facebook Radio Era).
Dan tatkala pegulas sukan luar negara memuji usaha dan aksi atlet kita, walaupun tidak mendapat medal, kita turut merasa teruja kerana sepertinya kita turut dipuji.

Suntikan positif dari berita-berita sukan dan pengulas sukan yang memberi kata-kata semangat kepada atlet yang bertanding menambah aura positif kepada pendengar. Di ruang maya pula, kata-kata semangat ditiupkan oleh warganet yang mengikuti momen-momen menarik hasil ciapan semula berita dari acara yang disertai atlet. Ini merupakan nilai tambah berita sukan yang merupakan salah satu seksyen berita yang menyuntikkan nilai berita positif (news value), berbanding nilai berita negatif.

Kandungan berita sukan yang sarat dengan perkataan dan imej-imej bekaitan emosi positif terutamanya menyumbang kepada perkara ini. Kajian-kajian menunjukkan bahawa emosi negatif mungkin begitu minimum kerana berita sukan memfokuskan pada kejayaan, iaitu kemenangan dan pemenang, dengan kemungkinan juga disebabkan pengaruh nasionalisme dan perpaduan (Rujukan kajian oleh Bruce, 2016; Markula, Bruce, & Hovden, 2010; Habibah, 2017). Sekali pun berita kekalahan dilaporkan, ucapan tahniah kepada pemenang dan kata-kata semangat kepada atlet yang kalah akan meningkatkan nilai positif dalam berita. Dan ini sesuatu yang amat kita perlukan pada
saat ini – nilai positif yang meniup emosi positif serta memberi harapan.

Semoga acara Olimpik kali ini mampu meniup jika tidak banyak, sedikit rasa semangat, riang dan gembira buat rakyat Malaysia. Jika sekalipun bukan melalui kilauan medal, mungkin hasil semangat juang dan usaha yang tidak putus-putus yang ditunjukkan atlet-atlet negara mampu sedikit sebanyak mengingatkan kita bahawa: kita juga, sebagai rakyat Malaysia mampu berjuang sedemikian dalam mendepani pelbagai cabaran dalam era pandemik ini! Olimpik bukan segala-galanya buat orang biasa, tetapi di masa yang luar biasa ini, ia tentunya lebih dari sekadar acara sukan.

Dr Habibah Ismail,
Pensyarah, Fakulti Pengajian Bahasa Utama
Universiti Sains Islam Malaysia