Foto: FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan Erdogan akan berkunjung ke Malaysia dalam masa terdekat bagi memenuhi undangan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam usaha memperkukuhkan lagi hubungan kedua-dua negara.

Erdogan juga bersetuju untuk bersemuka semasa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York pada bulan depan.

Perdana Menteri berkata, mereka akan berbincang terkait kerjasama pelaburan antara Malaysia dan Turkiye.

“Saya turut mengulangi komitmen pelaburan Malaysia Airport Holding Bhd sebanyak £200 juta di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen (ISGIA).

“Untuk itu, Batik Air telah terpilih sebagai operator untuk laluan KUL-ISG. Dijangka penerbangan Batik Air akan bermula pada Oktober 2023,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook, hari ini.

Menurut Anwar, beliau dan Erdogan akan berbincang terkait kerjasama pertahanan yang mana Agensi Industri Pertahanan Turkiye (SSB) telah menghantar delegasi yang besar untuk menyertai Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) baru-baru ini.

Tambahnya, beliau kagum dengan kemajuan teknologi pertahanan Turkiye dan yakin Malaysia bakal mendapat manfaat besar hasil kerjasama erat antara kedua-dua negara itu.

Berikutan itu, beliau bersetuju secara prinsip untuk memuktamadkan Memorandum Persefahaman dalam kerjasama pertahanan pada masa yang terdekat.

Sementara, Anwar berkata, beliau akan menggunakan kesempatan untuk maklumkan kepada Erdogan tentang usaha Malaysia menentang Islamophobia iaitu tindakan membakar Al-Quran di Sweden.

“Saya mengecam sekerasnya tindakan tersebut yang berlindung di sebalik hak kebebasan bersuara yang diagungkan oleh Barat,” ujarnya.

Lantaran itu, katanya, Malaysia menzahirkan komitmen untuk menyumbang sejuta naskhah Al-Quran di seluruh dunia termasuk 15,000 naskhah dengan terjemahan dalam bahasa Sweden sebagai salah satu usaha untuk menangani kedangkalan pemahaman Barat terhadap Islam. – MalaysiaGazette