Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali bercakap kepada media sempena Pilihan Raya Umum ke-15 di Melaka.

MELAKA – Semua Exco dan wakil rakyat di negeri ini diingatkan agar tidak mengabaikan tugas hakiki di sebalik keghairahan mereka membantu kempen calon parti.

Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, walaupun beliau tidak melarang semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terlibat dalam kempen calon, mereka harus bijak membahagikan masa.

Menurutnya, ini kerana Melaka juga mempunyai tanggungjawab untuk menyumbang kemenangan kerusi di semua enam Parlimen pada Pilihan Raua Umum Ke-15 (PRU15) sekaligus menyumbang kerusi bagi membentuk kerajaan Persekutuan.

“Saya yakin Exco-Exco saya akan buat kerja mereka seperti biasa, turun di lapangan (bantu kempen) itu tugas biasa tetapi sebelah malamnya kalau mereka ada masa yang lapang dan luar daripada tugas hakiki, nmaka itu terserah.

“Tak ada masalah (kempen), mereka kena pandai bahagikan masa dan yang penting adalah laksana dahulu tugas hakikinya menjaga portfolio diamanahkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Lawatan ke tapak binaan Masjid Tambak Paya, Ayer Molek di sini hari ini. Hadir sama, calon BN Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali.

Ditanya adakah wakil rakyat dan Exco wajib mengambil cuti untuk membantu kemenangan calon walaupun pada waktu bekerja, Sulaiman berkata isu cuti tidak timbul.

“Tak timbul (kena minta cuti), cuba tanya Pulau Pinang, yang tak bubar DUN ni, mereka masih lagi kerajaan, dia tak bubar, tanya Kelantan Terengganu macam mana mereka.

“Kita macam tu juga, tapi tugas hakiki itu adalah penting bukan sahaja Melaka, negeri lain juga terlibat (berkempen),” katanya. – MalaysiaGazette