Mohamad Ezam.

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Parti Rakyat Malaysia (PRM), Datuk Ezam Mohd. Nor akan diletakkan sebagi calon di kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang, Selangor

Ketua Biro Pilihanraya PRM, Zainol Arif berkata, Ezam diletakkan di DUN tersebut kerana beliau merupakan anak kelahiran Klang selain kerusi itu pernah disandang oleh bekas Pengerusi PKR Selangor, Allahyarham Tan Sri Khalid Ibrahim.

“Pengasas dan bekas Ketua Pemuda Keadilan ini juga pernah menjadi Timbalan Pengerusi Keadilan Selangor semasa Allahyarham Tan Sri Khalid Ibrahim menjadi pengerusi,” katanya dalam kenyataan.

Selain Ezam, PRM turut mengumumkan tiga lagi nama pemimpin utama parti itu yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri Selangor.

Turut dicalonkan Naib Presiden S. Manickavasagam yang akan bertanding di DUN Sentosa.

Beliau merupakan bekas Ahli Parlimen Kapar dari tahun 2008 hingga 2013 di bawah lambang PKR.

Bekas aktivis sosial tersebut pernah menjadi Naib Ketua Pemuda Keadilan semasa Ezam menjadi ketua.

Ketua Penerangan Pusat PRM, Tan Kang Yap diletakkan di DUN Pandamaran manakala Penolong Setiausaha Agong Syed Ahmad Putra Syed Isa menjadi calon di DUN Selat Kelang.

Syed Ahmad Putra pernah berkhidmat didalam kerajaan negeri Selangor di bawah pentadbiran Khalid dan beliau merupakan bekas Timbalan Ketua Pemuda Keadilan Selangor di era reformasi.

Biro Pilihanraya PRM sedang meneliti lebih 10 orang calon untuk bertanding di Selangor dan nama mereka akan diumumkan sebelum hari penamaan calon.

Satu majlis khas akan diadakan untuk mengumumkan penyertaan tokoh ini dalam waktu terdekat. – MalaysiaGazette