Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berjalan keluar selepas perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd membabitkan dana RM42 juta di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 23 APRIL 2019.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu Datuk Seri Najib Razak membayar RM238,914 kepada seorang ahli perniagaan, Lim Soon Peng bagi membiayai kandungan dan penulis laman Facebook Ah Jib Gor.

Saksi ke-17 kes pendakwaan, Wong Nai Chee yang juga adalah setiausaha politik kepada Najib dari tahun 2011 hingga 2018 berkata, Soon Peng telah membayar pula kepada sebuah syarikat yang dikenali sebagai AG Network untuk mentadbir laman Facebook itu.

Jelas Nai Chee, baki wang itu telah digunakan untuk membiayai Akademi Kewartawanan & Maklumat Taima (Akit) mengupah penulis kandungan berbahasa Cina.

“Beliau adalah pemimpin akar umbi Cina yang berpengaruh dan mampu mengumpulkan orang ramai jika diminta berbuat demikian.

“Namun beliau tidak mempunyai hubungan dengan kedua-dua syarikat itu,” katanya kepada Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi pada kes perbicaraan yang memasuki hari ketujuh di sini hari ini.

Ketika pemeriksaan balas oleh peguam bela utama, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Nai Chee berkata, laman Facebook Ah Jib Gor diwujudkan untuk mencari pengaruh masyarakat Cina.

Beliau berkata, laman itu ditubuhkan untuk menggambarkan dasar kerajaan kepada pembaca. – MalaysiaGazette