Fahmi menunjukkan pasport baharu dan lama selepas memperbaharuinya di Imigresen Putrajaya, semalam.

KUALA LUMPUR – Aktivis dan pereka grafik kontroversi, Fahmi Reza mendakwa telah memperbaharui pasportnya di Jabatan Imigresen Putrajaya, semalam.

Sambil menunjukkan dua pasport, yang lama dan baharu, beliau menerusi akaun Twitternya berkata: “Akhirnya dengan bantuan kakitangan dan pegawai Bahagian Keselamatan dan Pasport Jabatan Imigresen Putrajaya, aku dah berjaya renew pasport aku!

“Pegawai Imigresen tu bagitahu aku, Aku suka apa yang kau buat. Teruskan berkarya”,” ciap beliau.

Sebelum ini, Fahmi memaklumkan, polis telah mengenakan larangan ke luar negara ke atasnya.

Katanya, beliau mendapat tahu nama disenaraihitamkan Imigresen pada 23 April lalu ketika cuba memperbaharui pasportnya.

Beliau dijadualkan ke Eropah Mei ini kerana terlibat dengan satu persembahan teater.

Pada 14 April lalu, Fahmi direman sehari bagi membantu siasatan berhubung hantaran karikatur monyet berpakaian seragam istana berwarna kuning yang dimuat naik di media sosialnya.

Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/Undang-undang (D5), Bukit Aman.

Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana kecenderungan menghasut dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian. – MalaysiaGazette