Fauziah Nawi (dua dari kiri).

KUALA LUMPUR – Malam kemuncak Anugerah Seri Angkasa 2022 menjadi kenangah terindah buat pelakon senior, Fauziah Nawi apabila dinobatkan sebagai Tokoh Seri Angkasa 2022, semalam.

Anugerah itu sekaligus melayakkan Fauziah menerima sebuah trofi berserta wang tunai RM10,000.

Lebih mengejutkan apabila seniwati itu turut menerima kejutan apabila membawa pulang sebuah kereta Mitsubishi Xpander bernilai RM100,000.

Aktres itu meluahkan keterujaan dan bersyukur apabila hasratnya ingin memiliki sebuah kereta dimakbulkan oleh Allah SWT selepas dinobatkan Tokoh Seri Angkasa 2022.

Bakat Fauziah yang sudah 50 tahun berada dalam karier seni bermula dari Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Darah seni yang mengalir di dalam tubuh beliau sehingga memiliki pengalaman hebat sebagai juruhebah radio, pelakon, pengarah, penulis, penari, penerbit, penyanyi, guru lakonan dan aktivis teater.

Kemampuan Fauziah di layar perak juga terbukti apabila diangkat sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-12 menerusi filem Sayang Salmah selain karya-karya seperti Mawar Merah, Maut, Horee Horee, Akhirat, Berlari Ke Langit dan Mencari Rahmat.

Ratusan drama yang dibintanginya seperti Daun Ketupat Kering, Ombak Laut China Selatan, Jejak Karmila, Pondok Buruk termasuk yang diarahkan beliau seperti Azlina, Egois, Baju Pengantin Kak Long, Di Tebing Khatulistiwa dan banyak lagi.

Sementara itu, trofi Anugerah Tokoh Seri Angkasa 2022 itu disampaikan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

Malam kemuncak itu turut dimeriahkan dengan persembahan artis popular seperti Datuk M. Nasir, Ella, Misha Omar, Hazama, Haqiem Rusli, Tajul dan Datuk Jamal Abdillah. – MalaysiaGazette