Datuk Fazley Yaakob melancarkan aplikasi atas talian sambil diiringi Ketua E-Dagang Jaya Grocer, JC Loke (kiri) pada Majlis Pelantikan Duta Jaya Grocer dan Suka Sucre Creatives di The Straling Mall, Petaling Jaya Selangor. foto IQBAL BASRI, 20 SEPTEMBER 2017

PETALING JAYA – Penyanyi yang juga cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob melakar sejarah apabila mengharumkan nama Malaysia dengan pengiktirafan anugerah Alumni Paling Cemerlang sempena Majlis Gala Alumni Le Cordon Bleu, baru-baru ini.

Le Cordon Bleu terletak di Paris, Perancis dan merupakan institut yang menawarkan pengajian seni kulinari dan pengurusan hotel terbaik sejak tahun 1985 dengan penglibatan 20,000 pelajar daripada 100 negara setiap tahun.

Fazley, 39, adalah salah seorang bekas graduan institut berkenaan dengan mengambil jurusan Diploma de Patisserie pada tahun tahun 2013 dan Hautes Etudes du Gout (2016).

Selain bapa kepada tiga anak itu, tiga graduan turut tersenarai dalam kategori sama ialah Ye Daniel (Diploma de Cuisine, 2008 – China), Aaron Isip (Diploma de Cuisine, 2005 – Filipina) dan Shu Pin Sandra Yu (Grand Diplome, 2008 – Taiwan).

“Sudah tentu saya bangga kerana yang penting dapat mengharumkan nama Malaysia,” kata Fazley.

Beliau ditemui selepas majlis pengumumannya sebagai duta Jaya Grocer sempena pelancaran portal e-dagang pasar raya itu di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Fazley yang juga penceramah motivasi berkata, pemilihan empat finalis disenarai pendek daripada semua nama yang dicalonkan sehingga menjadikan dirinya berada dalam lima senarai akhir.

Seterusnya, peringkat saringan dijalankan dengan menyenarai dua alumni terbaik sekali gus kemenangan berpihak kepada bapa kepada tiga cahayamata itu apabila diumumkan sebagai pemenang utama di kota Paris Isnin lalu.

“Menariknya, anugerah ini didedikasikan khas kepada bekas graduan Le Cordon Bleu yang meraih kepelbagaian pencapaian cemerlang dalam dunia kulinari dan keberkesanan berkongsi ilmu menerusi dunia.

“Selain itu, penilaian dibuat ke atas bekas graduan yang mendapat liputan media paling efektif menerusi karier masing-masing selepas menamatkan pengajian di institut berkenaan,” katanya.

Sementara itu, pemilihan anugerah ini diadili oleh empat juri khas; Cef Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Seni Kulinari Le Cordon Bleu Paris, Eric Briffard, Pastry Cef Tebaik Perancis 2015, Jérôme Chaucesse, Cef Eksekutif Restoran Laurent dan Cef Michellin Star, Cef Alain Pégouret dan Pengarah Sommelier Hotel Ternama di Paris, Estelle Touzet.

Lebih signifikan, alumni dari tahun 1940-an yang merupakan rakan-rakan sekuliah figura kulinari lagenda, Julia Childs turut hadir bagi menyaksikan majlis bersejarah itu.

Selain pengiktirafan Alumni Paling Cemerlang, dua lagi anugerah yang turut dipertandingkan pada majlis sama adalah The Best Alumnus Concept dan The Most Successful Entrepreneur.

Ini kali pertama dalam sejarah Le Cordon Bleu mengadakan penganugerahan sedemikian. – MalaysiaGazette