Datuk Dr. Firdaus Abdullah

KUALA LUMPUR – Tokoh akademik dan budayawan yang juga bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Dr. Firdaus Abdullah meninggal dunia hari ini.

Berita kematian Firdaus yang juga bekas Timbalan Naib Canselor Universiti Malaya dimaklumkan oleh DBP melalui laman sosial rasminya.

“Warga Dewan Bahasa dan Pustaka merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Yang Berbahagia Datuk Dr. Firdaus bin Abdullah (Mantan Ketua Pengarah DBP) yang telah kembali ke rahmatullah pada 11 April 2024 bersamaan 2 Syawal 1445.

“Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman. Amin,” katanya.

Firdaus, dilahirkan di Kuang, Selangor berkelulusan Doktor Falsafah dengan pengkhususan dalam bidang pengajian Sains Politik dari Universiti Colombia, Amerika Syarikat kini merupakan Fello Penyelidik Kanan (Pelawat) di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM).

Beliau memulakan kerjaya sebagai wartawan di Berita Harian pada tahun 1963 di bawah bimbingan Allahyarham Tan Sri A. Samad Ismail dan pernah dilantik sebagai Pengerusi Eksekutif Utusan Karya Sdn Bhd (anak syarikat Kumpulan Utusan Melayu) dari tahun 2004 hingga 2005.

Beliau menjadi Ketua Pengarah DBP dari 2005 hingga 2008 dan kemudian dilantik sebagai senator pada 2009.

Kerjaya akademiknya pula bermula sebagai penolong pensyarah di Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya pada 1971 dan kemudian dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UM dari 1 April 1998 hingga 2 Jun 2001.

Firdaus juga terkenal dengan pelbagai hasil penulisan meliputi buku dan karya akademik dalam bidang politik, kebudayaan, kewartawanan dan penterjemahan karya kreatif dalam bidang puisi termasuk buku berjudul “Komentar Politik dan Kebudayaan” dan “Kepimpinan Melayu:Satu Rakaman Kewartawanan”.-MalaysiaGazette