Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun bersalaman ketika hadir pada Perasmian Jualan Buku Mes PDRM Pada Era 100 Tahun di Menara 1 Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 02 MEI 2019

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara,  Tan Sri Mohamad Fuzi Harun yang bakal menyerahkan tugas kepada penggantinya, Datuk Seri Abdul Hamid Bador esok berharap semua pihak  menerima keputusan kerajaan itu.

Beliau berkata, walaupun tidak ada pengumuman rasmi setakat ini namun Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sudah memberikan isyarat jelas yang Abdul Hamid akan menggantikannya yang akan bersara.

Justeru beliau mahu semua pihak termasuk dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberikan sokongan serta kerjasama kepada Abdul Hamid.

“Hari ini bukan hari terakhir saya berkhidmat sebaliknya pada 4 Mei nanti, Sabtu ini tetapi sudah menjadi kebiasaan kita serah tugas pada hari bekerja, jadi esok saya akan serahkan tugas saya kepada Abdul Hamid.

“Seperti yang semua sedia maklum, Perdana Menteri sudah memberitahu, Datuk Seri Abdul Hamid Bador akan mengambil alih pucuk pimpinan PDRM mulai esok. Kami berharap pengumuman rasmi supaya persiapan serah tugas ini dapat dilakukan esok.

“Saya ucapkan tahniah pelantikan ini, kita nantikan pengumuman ini sekurang-kurangnya kita boleh lakukan proses peralihan kuasa esok. Harapan saya, pucuk pimpinan perlu akur dengan keputusan yang dibuat kerajaan, berikan beliau sokongan tidak berbelah bahagi.

“Seperti yang anda semua telah beri kepada saya selama ini, saya harap anda akan beri sokongan padu kepada beliau bagi mengambil tampuk pemerintahan sebagai orang nombor satu PDRM,” katanya selepas merasmikan Majlis Pelancaran Jualan ‘Buku Mes PDRM Pada Era 100 Tahun’ di Bukit Aman di sini hari ini.

Semalam, Tun Dr. Mahathir mengesahkan pemangku Timbalan Ketua Polis Negara, Abdul Hamid dilantik sebagai KPN selepas persaraan Mohamad Fuzi.

Perdana Menteri berkata, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sudah menandatangani surat pelantikan Abdul Hamid.

Mohamad Fuzi dilantik sebagai Ketua Polis Negara menggantikan Tan Sri Khalid Abu Bakar pada 4 September 2017.

Mohamad Fuzi ketika diminta mengulas tentang ‘ketegasan’ Abdul Hamid yang agak tidak digemari oleh segelintir pihak, beliau yakin penggantinya mampu menjalankan tugas dengan baik.

“Seperti saya kata tadi, semua pihak perlu akur dengan keputusan yang telah dibuat oleh kerajaan. Bila keputusan sudah dibuat, semua pihak akan akur juga. Saya yakin. Sokongan padu akan diberikan kepada beliau.

“Saya juga yakin Abdul Hamid Bador juga akan memberikan yang terbaik, tidak timbul isu itu,” ujarnya.

Abdul Hamid menjadi perhatian pada tahun 2015 apabila membuat pendedahan mengenai pihak tertentu yang menyembunyikan saksi utama dalam siasatan kes 1MDB selain mendesak siasatan terus ketika memegang jawatan Timbalan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Kontrak Abdul Hamid sebagai KPN dua tahun