JOHOR BAHRU – Sudah semakin ramai rakyat negara ini tidak takutkan undang-undang sehinggakan depan wad kecemasan hospital pun boleh dijadikan tempat untuk bergaduh.

Kejadian di hadapan wad kecemasan Hospital Sultan Ismail (HSI) awal pagi ini seperti dalam sebuah video berdurasi 42 saat yang tular menunjukkan pergaduhan menggunakan kerusi dan kayu membabitkan beberapa individu.

Mangsa dipercayai tiga lelaki mengalami kesan lebam di tangan dan muka serta di jari selepas diserang sekumpulan empat orang yang menaiki sebuah Perodua MyVi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, insiden itu dipercayai bermula semasa tiga mangsa pergi ke sebuah pub di Mount Austin di sini sebelum diserang sekumpulan lelaki semasa mahu keluar dari premis itu.

Susulan itu, katanya, tiga lelaki tersebut dapat melarikan diri menaiki kereta Mercedes C20” milik salah seorang daripada mereka dan menuju ke HSI, bagaimanapun mangsa diekori sekumpulan lelaki menaiki Perodua MyVi.

“Sejurus sampai di hospital, tiba-tiba muncul sebuah MyVi berwarna hijau muda dengan nombor pendaftaran tidak dapat dikenal pasti dinaiki empat suspek yang kemudian turun membawa senjata dipercayai kayu hoki dan kayu rotan dan menyerang mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, suspek kemudian menyerang dan bertindak mahu merampas kereta dinaiki mangsa, namun gagal kerana salah seorang mangsa berjaya menarik stereng kereta sebelum terbabas lalu melanggar tiang hospital.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati, kejadian berpunca di pub berkenaan dan semasa masing-masing hendak keluar mereka dipercayai terlanggar bahu sesama mereka sehingga menyebabkan perbalahan mulut sebelum pergaduhan.

“Siasatan sedang dijalankan dan polis sedang berusaha mengesan suspek,” katanya kes itu disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette