Faiz Fadzil
Faiz Fadzil

KUALA LUMPUR – Perintah larangan atau gag order yang dikeluarkan Pas terhadap ahli-ahlinya daripada membahaskan isu urusan parti di media arus perdana dan media sosial menunjukkan parti itu semakin bersikap tidak terbuka dan cenderung ke arah autokratik.

Oleh itu, Timbalan Ketua Pemuda Amanah, Faiz Fadzil berkata, rakyat perlu menilai adakah mereka mahukan parti yang membawa pemikiran parokialisme seperti PAS ini layak untuk mentadbir dan memerintah Malaysia.

Parokialisme ialah pemikiran sudut pandang yang sempit terutamanya melibatkan diri, kawasan, mahupun negara. Parokialisme dalam aspek politik pula wujud apabila mereka gagal melihat politik dalam aspek yang lebih luas dan terbuka.

Ini akan mengakibatkan mereka gagal memahami kepelbagaian yang wujud dan akhirnya muncullah sifat ketakutan dan kebencian terhadap orang yang berbeza dengan mereka.

Apatah lagi mereka kini bersama dengan UMNO yang jelas korup dan zalim sehingga dijatuhkan oleh rakyat dalam PRU Ke-14 yang lalu.

Menurutnya, Malaysia tidak seharusnya ditadbir oleh parti yang berpaksikan di atas ketaksuban, ekstrim malah kebencian sesuatu kaum sebagai asas dalam pemerintahan negara.

Sebagai sebuah negara yang berbilang kaum dan agama, Malaysia perlu dibawa kepada politik baharu yang lebih segar dan adil kepada semua dan bukannya bersifat parokialisme atau perkauman.

Faiz berkata, isu urusan parti PAS ini sudah lama dibincangkan dalam kalangan ahlinya sejak perpecahan dalaman parti itu yang mula ketara sekitar tahun 2014.

Konflik antara kumpulan konservatif dan progresif dalam Pas sudah semestinya masih segar diingatan sehingga mengakibatkan berpecahnya parti tersebut dan tertubuhnya Parti Amanah Negara (Amanah).

Selepas tersingkirnya kumpulan progresif parti dalam Muktamar Pemilihan Pas pada 2015, kumpulan progresif ini yang diketuai Mohamad Sabu akhirnya menubuhkan sebuah lagi parti Islam yang mendukung ideologi Islam yang lebih progresif sesuai dengan waqi, demografi dan politik Malaysia yang mempunyai pelbagai kaum dan agama.

Tambah Faiz, perpecahan Pas adalah disebabkan kumpulan konservatif dalam parti itu yang mula mengamalkan pemikiran parokialisme yang akhirnya mewujudkan kebencian dan ketaksuban melampau dalam parti.

Mereka tidak boleh menerima perbezaan yang wujud di dalam parti dan juga tidak boleh menerima kritikan dan akhirnya, wujudlah pelbagai label yang dilemparkan sehingga menimbulkan persepsi negatif kepada Islam itu sendiri, katanya.

Keadaan ini berlaku di negara-negara dunia ketiga seperti Afghanistan, Lubnan, dan beberapa negara Afrika yang lain sehingga wujudnya konflik yang tidak berkesudahan

Ini kerana mereka menganggap kaum atau kumpulan mereka berhak menguasai politik di sesebuah negara tanpa mahukan wujudnya perkongsian kuasa dengan kaum mahupun kumpulan yang lain. – MalaysiaGazette