Seumpulan 200 pemandu lori berkumpulan berhampiran Plaza Tol Sungai Besi sebagai membantah tindakan beberapa lelaki menyerang Nasrul Faiz Zulfahmi pada 14 Januari lalu..

 

KUALA LUMPUR – Pemandu lori, Nasrul Faiz yang dibelasah teruk oleh sekumpulan lelaki di kawasan letak kereta sebuah kondomium di Bukit Antarabangsa mendakwa ada pihak menghubungi majikannya.

Nasrul berkata, sebelum kejadian dibelasah, beliau telah melanggar sebuah kereta yang berada di kawasan letak kereta.

Katanya, semasa itu tidak ada orang di dalam kereta tersebut.

“Ada seorang lelaki datang. Saya tanya ini kereta abang ke, dia tanya ini lori siapa. Saya tanya lagi ini kereta abang ke, dia tanya ini lori siapa. Lepas itu dia angkat tangan terus pukul, saya tidak berkasar, dia pukul saya.

“Dia tarik saya, macam hendak gaduh. Dia tarik saya, saya tarik dia. Saya tanya kenapa pukul saya,” katanya di sini.

Lebih 100 orang pemandu lori berhimpun di Plaza Tol Sungai Besi sebagai tanda solidariti kepada Nasrul.

Ketika ditanya mengenai kejadian itu, Nasrul berkata, dia perasan  seorang lelaki memukulnya manakala dua orang pula menendangnya.

“Saya pun tidak sedar berapa ramai, bila tengok Facebook baru tahu ramai,” katanya.

Nasrul yang masih nampak fobia dalam kejadian tempoh hari akan meneruskan kerja sebagai pemandu teksi.

“Rezeki di mana-mana,” ujarnya.

Sementara itu, wakil kepada pemandu-pemandu lori itu, Hairi berkata, nasib yang menimpa Nasrul menunjukkan sikap segelintir rakyat Malaysia yang tidak menghormati pemandu lori.

“Nasrul dipukul tanpa ada belas kasihan, seolah-olah pemandu lori seperti kami boleh diperlakukan sesuka hati.

“Kalau di luar negara kerjaya pemandu lori dihormati tetapi di sini kami seperti sampah,” katanya dengan penuh emosional. – MalaysiaGazette