Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melancarkan Ekspo dan Sidang Kemuncak Agrikomoditi Antarabangsa Malaysia 2022 (MIACES) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

KUALA LUMPUR – Industri getah negara melangkah setapak ke hadapan selepas berjaya menghasilkan komposit getah baharu yang akan digunakan dalam pembuatan belon aeroangkasa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, komposit getah generasi baharu itu telah berjaya dicipta hasil penyelidikan yang diterajui oleh anak tempatan dengan kerjasama universiti terkemuka dunia.

Katanya, komposit getah generasi baharu itu dicipta hasil kombinasi ekstrak graphene dan getah asli.

“Komposit getah baharu ini akan digunakan dalam pembuatan belon aeroangkasa dan ini merupakan yang pertama seumpamanya di dunia.

“Penemuan baharu ini membolehkan Malaysia menceburi industri bernilai tinggi dan meneroka pasaran baharu yang melibatkan aplikasi satelit dan aeroangkasa seterusnya membantu meningkatkan nilai eksport produk getah negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Ekspo dan Sidang Kemuncak Agrikomoditi Antarabangsa Malaysia 2022 (MIACES) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini.

Hadir sama, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba; dan dua Timbalan Menteri KPPK, Datuk Willie Mongin serta Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng.

Menurut Ismail Sabri, Malaysia terkenal sebagai pengeksport getah asli dan barangan getah yang berkualiti tinggi terutamanya
sarung tangan getah yang telah menembusi hampir 190 buah negara.

Beliau berkata, sejajar dengan evolusi yang berlaku dalam rantaian penghasilan produk getah masa kini Malaysia telah mempelbagaikan produk berasaskan getah terutama sekali yang bernilai tinggi.

Sementara itu Zuraida berkata, pembuatan belon aeroangkasa menggunakan getah asli Malaysia merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan.

Produk tersebut akan dilancarkan di United Kingdom pada bulan September.

“Produk ini dihasilkan sendiri oleh anak watan yang mendapat hak cipta untuk menghasilkan belon angkasa yang juga akan digunakan sebagai satelit.

“Kita akan buat pelancaran fizikal bersama Cranfield University dan Pusat Penyelidikan Getah Tun Abdul Razak dan semua pakar yang terlibat,” katanya.

Menurut Zuraida produk tersebut mengambil masa selama setahun untuk dihasilkan.

MIACES yang pertama kali dianjurkan itu mendapat penyertaan daripada 39 negara dengan 300 ruang pameran selain mengetengahkan 50 pakar dalam komoditi sawit, getah, koko, balak, lada hitam dan kenaf.

Sejumlah 50 kerjasama dijangka akan termeterai dan sekaligus menyediakan peluang eksport kepada syarikat tempatan.-MalaysiaGazette