Pemain perseorangan negara, Goh Jin Wei menewaskan pemain perseorangan Thailand, Nitchaon Jindapol dengan keputusan 21-13, 21-12 pada perlawanan hari kedua Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia Celcom Axiata 2019 di Axiata Arena Bukit Jalil hari ini. foto NOOREEZA HASHIM, 03 APRIL 2019.

KUALA LUMPUR – Pemain badmintan perseorangan wanita, Goh Jin Wei mengumumkan persaraan pada usia 21 tahun.

Bekas juara remaja dunia dua kali itu menjelaskan keputusan berkenaan dibuat berdasarkan atas faktor kesihatan.

Menurut pemain berusia 21 tahun dia masih lagi bergelut dengan tahap kesihatan selepas mengalami masalah kesihatan di bahagian perut sehingga menyebabkan terpaksa menjalani pembedahan membuang sebahagian usus pada pertengahan 2019.

“Jumlah ubat-ubatan yang perlu saya ambil meningkat. Demi tahap kesihatan, saya tiada pilihan selain menamatkan karier lebih awal,” katanya dalam laman akaun YouTube miliknya semalam.

Keputusan mengejutkan itu bukan saja bakal menjejaskan perancangan skuad Piala Uber tahun ini, malah merencatkan harapan BAM untuk membina pasukan mantap menjelang Sukan Olimpik Paris 2024.

Dia sebelum ini dikatakan mampu menggalas tugas sebagai perseorangan nombor satu negara selepas berjaya muncul juara remaja dunia pada 2015 dan 2018.

Selain pernah menduduki ranking ke-24 dunia, dia juga pernah memenangi emas di Sukan SEA 2017 sebelum dihimpit masalah kesihatan.

Selepas tempoh pemulihan dia berjaya menunjukkan peningkatan dengan mara ke suku akhir Masters Orleans dan muncul naib juara di saingan Antarabangsa Sepanyol tahun ini. – MalaysiaGazette