foto FAREEZ FADZIL, 01 NOVEMBER 2018

KUALA LUMPUR- Hanya beberapa jam selepas pelaksanaan peraturan baharu e-hailing, Grab mengalami penyusutan hampir 20 peratus pemandu sehingga menyukarkan para penumpang mendapatkan perkhidmatan mereka.

Ia juga menyebabkan pemandu-pemandu Grab kehilangan sumber pendapatan.

Dalam pada itu, Grab turut mengalu-alukan pendekatan berlembut dan mendidik seperti yang diumumkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke tadi.

“Kami merasakan itu satu keputusan yang adil oleh menteri, berbeza dengan kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh pihak yang menentang kami.

“Pemandu-pemandu kami dituduh sengaja membuat alasan dan buat kerja di saat-saat akhir meskipun telah diberikan tempoh selama 12 bulan.

“Sebenarnya, beberapa syarat utama seperti latihan dan peperiksaan hanya dinyatakan sejak tiga bulan lalu sahaja manakala beberapa syarat lain seperti rekaan pelekat e-hailing yang perlu dikongsi dengan pengendali-pengendali lain hanya dimaklumkan beberapa hari lalu” jelasnya.

Tambah Grab, fokus utama mereka ketika ini adalah untuk menyelesaikan dan menghapuskan isu-isu kapasiti dalam cawangan pihak berkuasa di samping proses-proses yang tidak direka untuk dikendalikan dalam jumlah yang banyak.

Jelasnya, oleh kerana pelbagai proses mula dilakukan pada pertengahan April, kebanyakan petugas mereka hanya memberi fokus untuk menyelesaikan pelbagai perkara termasuk menyediakan dewan peperiksaan besar bagi mengelakkan kelewatan di sekolah-sekolah memandu serta memudahkan proses permohonan PSV dengan mengumpul dan menyerahkan dokumen-dokumen bagi pihak pemandu Grab kepada Jabatan Pengangkutan Jalan untuk diproses.

Menurut syarikat e-hailing itu, dalam tempoh tiga bulan akan datang, ia akan memberi fokus untuk membantu para pemandu mengurangkan kos dan masa bagi memenuhi pelbagai syarat yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Antara program yang akan direka itu adalah Pakej Pikul Bersama.

“Sejak beberapa bulan lalu, kami menghadapi tempoh yang sangat mencabar.

“Pihak berkuasa dan para pemandu kami terutamanya telah menunjukkan tahap kesabaran yang tinggi di dalam menangani proses peraturan yang pertama kali dilaksanakan ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.-MalaysiaGazette