Gol berganda Morata membantu Juventus tewaskan Lazio dan rapatkan kedudukan dengan Inter Milan dalam aksi Serie A Itali semalam.

ROM – Dua gol Alvaro Morata membantu Juventus bangkit menundukkan Lazio 3-1 dalam aksi Serie A Itali malam tadi.

Kemenangan itu membolehkan the Old Lady melonjak ke tangga ketiga dalam liga serta merapatkan kedudukan dengan pendahulu liga Inter Milan yang hanya dipisahkan dengan tujuh mata.

Dengan Cristiano Ronaldo memulakan aksi di bangku simpanan, Joaquin Correa meletakkan pasukan pelawat Lazio di hadapan menerusi gol awal pada minit ke-14 di separuh masa pertama.

Bagaimanapun Adrien Rabiot berjaya menjaringkan gol penyamaan untuk tuan rumah pada minit ke-39 sebelum keputusan terikat seri 1-1 di separuh masa pertama.

Memasuki separuh masa kedua, Juventus mendapat peluang menambah jaringan menerusi Alvaro Morata pada minit ke-57.

Morata sekali lagi muncul wira apabila meledakkan gol ketiga Old Lady pada minit ke-60 menerusi sepakan penalti selepas Aaron Ramsey diterjah keras oleh Sergej Milinkovic-Savic di dalam kotak penalti.

Dengan kemenangan itu Juventus memungut 52 mata sementara Inter Milan mengungguli carta liga dengan 59 mata selepas 25 perlawanan.

Sementara AC Milan berada di tangga kedua dengan 53 mata.-MalaysiaGazette