abdul hadi awang urusan mahkamah
Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang akan dipanggil ke Bukit Aman dalam masa terdekat ini berhubung satu kenyataan kontroversi amalan rasuah membabitkan bukan Islam dan bukan bumiputera.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan bahawa Bukit Aman sedang menjalankan siasatan Ahli Parlimen Marang itu selepas menerima 28 laporan polis berhubung isu berkenaan.

Artikel kenyataan Ahli Parlimen Marang merangkap Duta Khas bertaraf Menteri ke Timur Tengah itu disiarkan dalam sebuah portal berbahasa Inggeris Malay Mail bertajuk “pas’ hadi claims non-muslims, non-bumiputera make up the bulk of ‘roots of corruption”.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Asisten Komisioner Skandaguru Anandan berkata, siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman di bawah Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan dengan niat mengapikan mana-mana golongan atau kaum.

Presiden Pas itu turut disiasat polis di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

“Siasatan masih dijalankan terhadap beliau dan PDRM menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi dan kenyataan yang boleh mengganggu proses siasatan.

‘”PDRM juga menyeru orang ramai agar cakna dan prihatin terhadap isu-isu yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum yang boleh menggugat keharmonian dalam kalangan masyarakat.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang bertindak dalam apa jua cara sehingga boleh menjejaskan ketenteraman awam dan keselamatan negara,” tegasnya. – MalaysiaGazette