IKUALA LUMPUR – Penyanyi terkenal, Hafiz Suip dan Adira Suhaimi pernah mendapat jolokan pasangan serasi menerusi beberapa lagu duet mereka.

Selain berjaya mencipta fenomena tersendiri, nama Hafiz dan Adira juga hangat diperkatakan ekoran keduanya pernah dikatakan menjalin hubungan cinta.

Namun, perancangan Allah itu sebaliknya apabila kedua mereka membina keluarga dengan pasangan hidup masing-masing.

Hafiz kini bahagia dengan kehadiran seorang cahaya mata, Adira pula diserikan dengan tiga anak.

Selepas empat tahun tidak berjumpa dan bekerjasama, Hafiz dan Adira dipertemukan semula menerusi lagu Takdir Tercipta ciptaan Ikhwan Fatanna dan Ayden Ali yang dilancarkan pada 9 September lalu.

Tidak terhenti setakat itu, kerinduan peminat terhadap pasangan itu kembali dalam muzik video Takdir Tercipta yang dilancarkan secara rasmi hari ini di saluran Youtube Nova Music Videos.

Menariknya, muzik video itu seolah-olah mengimbas dan menceritakan kembali perjalanan kisah cinta Hafiz dan Adira.

Bagaimanapun menurut Hafiz, apa yang dipaparkan adalah sebuah cerita yang melengkapkan lagi lirik lagu itu.

“Kalau tengok muzik video ini sama macam drama. Ia ada jalan cerita tersendiri. Terpulang pada persepsi masing-masing.

“Saya dan  Adira menjalankan tanggungjawab diberikan dengan cukup profesional. Saya percaya, apa yang dipaparkan berkaitan dengan lagu dan lirik.

“Secara peribadi, saya menganggap muzik video ini adalah hadiah buat peminat yang tidak pernah berhenti menyokong kerjaya kami dari dulu hingga kini,” katanya.

Bagi Adira, dia berharap muzik video itu diterima baik sekali gus mengubat kerinduan peminat.

“Apabila lagu ini dilancarkan, ramai bertanya bila muzik video akan dikeluarkan. Jadi, muzik video sudah ada dan diharap peminat menyukainya.

“Bagi saya, muzik video ini ada keistimewaan tersendiri menerusi jalan cerita yang dipaparkan,” katanya.

Muzik video itu yang diilham sepenuhnya oleh Hafiz Suip mendapat sentuhan pengarah  Bobong Latif.

Bagi memenuhi permintaan peminat, Nova Music (M) Sdn. Bhd. telah melancarkan video muzik rasmi Takdir Tercipta semalam di saluran YoutTube Nova Music Videos atau klik https://youtu.be/48hNRWso-jl. –  MalaysiaGazette