Hairul Anuar
Hairul Anuar Hashim dan Azlina Ali menerima kunjungan Mohammed Hafiz Baharuddin (dua dari kanan) di kediaman mereka di Taman Warisan Puteri, Sikamat, Seremban, hari ini.

SEREMBAN – Pesakit strok, Hairul Anuar Hashim, 53, berharap Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun sudi meluangkan masa untuk menziarahinya yang di kediamannya di Taman Warisan Puteri, Sikamat di sini.

Beliau yang terlantar sejak dua tahun lalu berkata, kedatangan sahabat lamanya itu dapat menguatkan semangatnya dalam menghadapi dugaan hidup.

“Saya nak kawan-kawan lama beri semangat kepada saya yang sedang dalam keadaan sebegini,” katanya yang juga bekas pembantu peribadi Aminuddin sebelum menjadi menteri besar dahulu.

Hairul Anuar berkata demikian kepada pemberita semasa menerima kunjungan daripada calon bebas bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat, Mohammed Hafiz Baharuddin hari ini.

Beliau mula berkhidmat bersama Aminuddin ketika penyandang kerusi DUN Sikamat itu mula bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) dan terpaksa berhenti kerja pada 2015 setelah diserang strok kali kedua.

Sementara itu, isterinya, Azlina Ali, 50, memberitahu, Hairul Anuar pernah dipukul sekumpulan individu semasa mengedarkan risalah kempen Aminuddin selepas solat Jumaat di luar pekarangan sebuah masjid pada 2008.

Beliau menambah, hubungan suaminya dengan Aminuddin memang baik dan Hairul Anuar memang sangat berharap untuk menatap wajah bekas ketuanya itu.

“Saya juga berharap agar suami diberi bantuan dari segi rehabilitasi dan fisioterapi serta bantuan untuk menghantarnya mendapatkan rawatan susulan di hospital.

“Saya tidak dapat memandu sendiri kerana trauma selepas kemalangan dahulu jadi terpaksa bergantung kepada pengangkutan awam untuk membawa suami,” jelasnya.

Azlina juga terpaksa meninggalkan pekerjaannya di sebuah bank pada 2015 kerana perlu memberi tumpuan sepenuh masa untuk menjaga suaminya.

Beliau berkata, Hairul Anuar yang merupakan bapa kepada lima anak berusia antara 11 hingga 23 tahun turut menerima pencen ilat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

“Kami juga pernah memohon bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) namun tidak pasti apa tindakan selanjutnya,” katanya.

Dalam pada itu, Mohammed Hafiz berharap agar kerenah birokrasi berkaitan permohonan Hairul Anuar dapat dikurangkan.

“Terlalu banyak birokrasi sehingga menyukarkan pemohon bantuan,” katanya.

Beliau turut berikrar akan berusaha untuk meringankan masalah yang dihadapi oleh Hairul Anuar dan pesakit-pesakit terlantar lain sekiranya dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat. – MalaysiaGazette