Antonio Guterres

KAMPALA, Uganda – Hak rakyat Palestin untuk menjadi negara mesti diiktiraf oleh semua pihak, tegas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres.

Berucap pada sidang kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) ke-19 di Kampala, Guterres berkata, keengganan untuk menerima penyelesaian dua negara untuk Israel dan Palestin dan penafian hak untuk menjadi negara bagi rakyat Palestin adalah tidak boleh diterima.

“Ini akan memanjangkan konflik selama-lamanya yang telah menjadi ancaman besar kepada keamanan dan keselamatan global; memburukkan polarisasi dan meningkatkan jumlah pelampau di mana-mana.

“Sidang kemuncak ini berlaku pada satu lagi detik perpecahan yang mendalam, hak asasi manusia, undang-undang antarabangsa, Konvensyen Geneva, dan Piagam PBB telah dilanggar dengan sewenang-wenangnya. Saya tidak akan mengalah dalam gesaan saya untuk gencatan senjata kemanusiaan segera dan pembebasan segera tanpa syarat semua tebusan.

“Kemusnahan seluruh Gaza dan jumlah korban awam dalam tempoh yang singkat adalah sama sekali tidak pernah berlaku sebelum saya diberi mandat,” katanya sambil menambah PBB juga telah terjejas kerana 152 kakitangan telah terbunuh.

Kempen tentera Israel di Gaza sejak pencerobohan Hamas 7 Oktober 2023 telah membunuh hampir 25,000 orang selain menyebabkan pemindahan besar-besaran, kemusnahan dan kekurangan makanan, air dan ubat-ubatan.

Guterres berkata, rakyat di Gaza sedang mati, bukan sahaja akibat bom dan peluru tetapi kerana kekurangan makanan dan air bersih, dan hospital tanpa bekalan elektrik dan ubat.

“Walaupun anggota kemanusiaan melakukan yang terbaik untuk menyampaikan bantuan, namun penduduk Gaza menghadapi pengeboman berterusan dan berada dalam bahaya setiap hari, di tengah-tengah kekangan besar yang ditimbulkan oleh jalan raya yang rosak, komunikasi terputus dan penafian akses,” katanya.

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu pula telah berkata, beliau menentang negara Palestin dalam mana-mana senario selepas perang. – Agensi