Ibu Pejabat Polis Bukit Aman

KUALA LUMPUR – Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) (Gerakan) Bukit Aman, Datuk Hamzah Ahmad dilantik sebagai Ketua Polis Pulau Pinang yang baharu.

Jawatan Ketua Polis Pulau Pinang kosong sejak 25 Mac lalu apabila Datuk Khaw Kok Chin dilantik sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman.

Setiausaha Polis Malaysia, Deputi Komisioner Alzafny Ahmad berkata, Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), Urus Setia Pejabat Ketua Polis Negara, Bukit Aman, Datuk Muhammed Hasbullah Ali kekal dengan jawatan sama namun memangku jawatan Komisioner Polis.

“Selain itu, pertukaran pegawai kanan ini turut melibatkan Penolong Pengarah E6, Cawangan Khas, Bukit Aman, Datuk Dr Lim Joo Soon.

“Joo Soon telah ditukarkan sebagai Timbalan Pengarah (Jenayah Siber), Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman dengan memangku pangkat Deputi Komisioner Polis (DCP),” katanya menerusi kenyataan.

Menurut Alzafny, kesemua pertukaran jawatan membabitkan tiga pegawai kanan polis itu berkuatkuasa 13 Mei ini. – MalaysiaGazette