Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh.

KLUANG – Kerajaan memberi jaminan harga barang yang sebelum ini naik mendadak akan turun tidak lama lagi dan rakyat kena bersabar.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, kerajaan telah melakukan pelbagai usaha bagi menstabilkan harga barang termasuk sayur dan ayam yang sudah mulai membuahkan hasil.

“Insya-Allah bekalan makanan ini apabila diimport nanti, diberikan subsidi, harap rakyat bersabar. Penurunan harga sayur dan ayam di pasaran ketika ini hasil tindakan kerajaan meluluskan peruntukan agak besar.

“Insya-Allah akan berlaku penurunan harga barang dari semasa ke semasa bermula sekarang. Harap rakyat memahami isu ini, kerana ia isu antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Projek Kelompok Tanaman Nanas Parit Ghani di Simpang Renggam di sini hari ini.

Jelas Nik Muhammad Zawawi  kadar kenaikan harga barang di negara ini tidak setinggi  seperti di sesetengah negara Asia Barat yang mengalami kenaikan sehingga tiga kali ganda.

“Syukur walaupun kita semua sekarang berdepan dengan harga yang tinggi dengan keadaan ekonomi yang begitu tertekan, kita perlu bersyukur kerana kerajaan kita tetap ambil peduli nasib rakyat.

“Harga barang meningkat bukan melanda negara kita sahaja kerana ramai menganggap kenaikan harga barang hanya di Malaysia, sebaliknya ia berlaku di semua negara, ” katanya lagi.

Sementara itu, sejak kebelakangan ini telah berlaku kenaikan harga ayam dan ikan selain harga beberapa jenis sayur turut dilaporkan meningkat.

Sebelum ini, cili merah dijual dengan harga RM10 sekilogram (kg) namun kini harganya mencecah RM14  manakala bunga kobis yang sebelum ini dijual dengan harga RM8.70 meningkat kepada RM10 sekilogram.- MalaysiaGazette