Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Harga minyak masak botol lima kilogram (kg) diturunkan kepada RM31.50 berbanding RM33.50 bermula 8 Oktober hingga 7 November depan.

Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata,  perkara itu diputuskan dalam mesyuarat jawatan kuasa berkenaan hari ini.

Ia berikutan pelaksanaan harga maksimum minyak berkenaan secara bulanan berdasarkan harga bagi satu tan metrik minyak sawit mentah (MSM) yang merekodkan tren penurunan.

“Bagi minyak masak botol tiga kilogram harga diturunkan daripada RM21.10 kepada RM19.90 turun sebanyak RM1.20, bagi minyak masak dua kilogram turun daripada RM14.30 kepada RM13.50, penurunan 80 sen.

“Bagi minyak masak botol satu kilogram turun daripada RM7.50 kepada RM7.10 dengan penurunan 40 sen,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri mesyuarat Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, di Parlimen, hari ini.

Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa pada 1 September lalu berkata harga minyak lima kilogram ditetapkan pada RM33.50 daripada RM34.70 pada Ogos lalu.

Mengulas lanjut, mana-mana pihak yang menjual melebihi harga maksimum yang telah ditetapkan akan diambil tindakan.

“Mana-mana pihak yang menjual melebihi harga maksimum boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti seperti berikut iaitu individu; boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan syarikat; boleh didenda sehingga RM500,000,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Alexander berkata, kementerian telah menerima 13 kes menjual minyak masak botol dengan melebihi harga siling diterima KPDNHEP. – MalaysiaGazette