KUALA LUMPUR – Seekor harimau dipercayai sesat cedera selepas dilanggar oleh sebuah motosikal di kawasan hutan berhampiran Semenyih dekat sini semalam.

Pegawai Bomba Kanan II Balai Bomba dan Penyelamat Semenyih, Zairul Azli Ramli memberitahu, pihaknya menerima panggilan awam memaklumkan mengenai insiden itu pukul 11.50 malam.

Bertindak atas maklumat itu pasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semenyih bergegas ke lokasi kejadian dan turut tiba di lokasi Jabatan Perhilitan dari Shah Alam.

“Kami membuat pemeriksaan lanjut dan mendapati seekor harimau dipercayai spesis terancam jenis Harimau Dahan/Akar terbaring dengan kecederaan pada badan di hadapan Stesen minyak Shell, Jalan utama Semenyih-Kajang.

“Harimau itu telah mengalami kecederaan dan berada di tepi jalan akibat dilanggar sebuah motosikal,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Siasatan mendapati penunggang motosikal yang dipercayai melanggar spesies terancam itu turut mengalami kecederaan ringan serta tidak berada di lokasi semasa anggota tiba ke tempat kejadian.

Mangsa dipercayai sudah pergi ke klinik untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Siasatan mendapati, harimau itu dipercayai datang dari hutan kawasan Broga dan berkemungkinan sesat sebelum terlibat dalam kemalangan.

“Bagaimanapun anggota bomba berjaya mengawal keadaan sekeliling dari orang awam dan seterusnya menyerahkan haiwan tersebut kepada Pihak Perhilitan Shah Alam untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya. – MalaysiaGazette