Sayed Khairul Mizan Ab. Wahab

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Ikatan Kekeluargaan Rumpun Nusantara (HaRUM) melancarkan Kempen Prihatin Harum untuk mendapatkan data maklumat bantuan kepada golongan yang terkesan dengan Covid-19.

Kempen itu bermula sekitar Lembah Klang yang melibatkan pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira agama dan bangsa.

Menurut presidennya, Sayed Khairul Mizan Ab. Wahab, dalam tempoh dua minggu kempen, HaRUM menerima permohonan kira-kira 600 keluarga untuk mendapatkan bantuan, dengan 90 peratus adalah golongan B40 dan 10 peratus lagi warga asing.

“Sebelum ini, dalam tempoh PKP 1.0 dan 2.0, kita bergerak sendirian. Kali ini, dalam PKP 3.0, ramai komuniti setempat ambil bahagian untuk menyertai kempen HaRUM.

“Timbul rasa kecaknaan, kasih sayang dan jiwa yang suka membantu di kalangan komuniti selepas melihat usaha kita. Mereka sama-sama menghulurkan bantuan kepada golongan terjejas dan kehilangan sumber pendapatan.

“Bukan sekadar itu, kecaknaan terhadap kestabilan emosi juga dapat dikongsi bersama memandangkan terdapat banyak kes melibatkan tekanan dan kemurungan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sayed Khairul Mizan berkata, daripada 600 pemohonan yang diterima, sebanyak 500 keluarga telah disantuni dan dibantu oleh jaringan kerjasama melibatkan komuniti yang tinggal di kawasan berdekatan dengan pemohon berkenaan.

Kata beliau, pelbagai maklum balas positif diterima daripada wakil komuniti berkenaan mengenai pemohon bantuan selepas mereka sendiri berhubung dan membantu.

Petugas sukarelawan HaRUM menyusun bekalan makanan untuk diagihkan kepada keluarga yang memohon menerusi Kempen Prihatin Harum.

“Ini adalah antara misi HaRUM agar komuniti setempat lebih peka dan prihatin mengenai keadaan semasa serta cakna dengan sosial masyarakat setempat.

“Namun, tidak dinafikan ada juga segelintir pemohon yang cuba mengambil kesempatan, tetapi jumlahnya tidak ramai,” katanya.

Beliau menyatakan, antara komuniti terlibat membantu ialah NGO, Persatuan Penduduk, Persatuan Peniaga, Kariah Masjid dan Surau, Pertubuhan Pekerja, Ahli-ahli Kelab Alumni, guru, pelbagai Pertubuhan Media Sosial, asatizah dan individu.

Selain itu, kata Sayed Khairul Mizan, HaRUM juga berhubung dengan wakil Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) untuk mendapatkan maklumat bantuan yang disediakan dan membuat hebahan kepada orang ramai, khususnya berkaitan Covid-19.

“Dengan jaringan kerjasama ini, misi bantuan dapat bergerak lebih mudah dan lancar kerana komuniti setempat sendiri akan berhubung, mengumpul dana, membeli barang keperluan dan menziarahi keluarga berkenaan berdasarkan maklumat diterima oleh HaRUM.

“HaRUM juga menyasarkan lebih banyak jaringan dan kerjasama yang dapat dibina dengan pelbagai pihak agar kebersamaan dalam menyantuni masyarakat terutama yang terjejas ketika ini dapat dilaksanakan.

“Sehingga kini, HaRUM masih lagi menerima permohonan daripada golongan terjejas Keperluan barangan asas yang disalurkan ialah beras, telur, tepung, gula dan lain-lain lagi untuk tempoh dua minggu,” ujar beliau.

Pada masa sama kata beliau, HaRUM akan menyusun dan memperbaiki dari segi pengurusan dan pengedaran bantuan agar lebih tersusun dan terurus.

HaRUM turut membuat hebahan kempen itu melalui media sosial seperti facebook, aplikasi Whatsapp dan lain-lain kaedah agar dapat dihebahkan semaksimum mungkin kepada golongan sasar. – MalaysiaGazette