Jamal Md Yunos (kanan) keluar dari Mahkamah Sesyen di Ampang selepas mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan.

AMPANG – Ketua Kumpulan Baju Merah, Datuk Seri Jamal Md Yunos dan sembilan pengikutnya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap dua pertuduhan.

Jamal bersama Reza Jamin, 26; Ariffin Abu Bakar, 47; Mohd Shabudin Abu Hassan, 47; Izzrul Idris, 32; Hasannen Zikri Harizan, 24; Mohd Faiz Amirul Mahsan, 22; Mohd Yusoff Mohd Sharif, 26; Abd Razak Hassan, 29 dan R.Balaguru, 30 mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Rushan Lutfi Mohamed.

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka sebagai ahli satu kumpulan perhimpunan menyalahi undang-undang dengan tujuan bersama didakwa telah menggunakan kekerasan untuk menentang pelaksanaan undang-undang.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di dalam bangunan pusat beli-belah Ampang Point, Ampang Jaya pada jam 4 petang, 13 November 2016.

Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mereka turut mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan pilihan iaitu bertindak agresif dengan cara merempuh halangan pihak polis bagi tujuan membangkitkan kemarahan dan mengganggu keamanan pada masa dan tempat sama.

Dakwaan itu dibuat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 (Akta 336) yang membawa hukuman denda maksimum RM100.

Pengarah Pendakwaan Selangor, Muhamad Iskandar Ahmad memohon mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin setiap seorang sementara kes selesai dibicarakan.

Bagaimanapun, peguam bela Izzat Zabir Sharif memohon jaminan RM10,000 diberikan ke atas kesemua mereka dengan seorang penjamin.

Mahkamah memutuskan kesemua mereka diikat jamin RM3,000 setiap seorang.

Mahkamah turut menetapkan 3 Mei ini sebagai sebutan semula kes berkenaan. – MalaysiaGazette