Meghan Markle dan Putera Harry. foto Agensi

LONDON – Meghan Markle mendedahkan hidup dalam lingkungan keluarga diraja Britain adalah saat sukar baginya sehingga pada suatu ketika beliau berasa ‘tidak mahu hidup lagi’.

Dalam wawancara bersama Oprah Winfrey, Meghan berkata, beliau tidak mendapat bantuan apabila ketika dia memerlukan.

Katanya, saat paling sukar apabila Harry ditanya oleh salah seorang daripada keluarganya, ‘sejauh mana’ hitamnya kulit anaknya nanti.

Putera Harry juga mendedahkan bapanya, Putera Charles, berhenti menerima panggilannya ketika beliau mahu keluar dari keluarga tersebut.

Wawancara yang dinanti-nantikan itu disiarkan di Amerika Syarikat.

Selama dua jam wawancara khas CBS yang akan disiarkan di UK melalui ITV dan di ITV Hub, pasangan itu bercakap pelbagai topik, termasuk rasisme, kesihatan mental, hubungan mereka dengan media dan dinamik keluarga diraja.

Mereka juga mengumumkan bayi mereka yang dijadualkan dilahirkan pada musim panas.

Pasangan itu berpindah ke California setelah secara rasmi melepaskan diri daripada tugas kerajaan pada bulan Mac tahun lepas.

Pada bulan lalu, pasangan itu turut mengumumkan tidak akan kembali sebagai anggota keluarga diraja yang bertugas.

Meghan mengatakan dia mula merasa kesepian kerana kehidupannya terbatas menyebabkan ada satu ketika dia tidak meninggalkan rumah selama berbulan-bulan.

Ditanya Oprah apakah dia berfikir untuk mencederakan diri sendiri dan terfikir untuk bunuh diri pada tahap tertentu, Meghan menjawab: “Ya. Ini sangat jelas. Sangat jelas dan sangat menakutkan. Saya tidak tahu siapa yang harus dihubungi. ”

Meghan juga mendedahkan beliau “dihantui” gambar-gambar dari acara rasmi yang dia hadiri dengan Harry di Royal Albert Hall semasa hamil.

Menurutnya, dia menghadiri acara itu bersama Harry pada malam itu kerana tidak boleh “ditinggalkan sendirian” dan masih teringat Harry menggenggam tangannya dengan erat ketika di Royal Albert Hall.

Dalam wawancara itu, Oprah juga bertanya kepada Meghan mengapa dia beranggapan keluarga diraja tidak mahu menjadikan anaknya, Archie sebagai putera raja.

“Pada bulan-bulan kehamilan saya, sehingga kita bersama-sama membincangkan dia (anak) tidak akan diberi jaminan keselamatan, dia tidak akan diberi gelaran, dan juga kebimbangan dan perbualan tentang betapa gelapnya kulitnya ketika dia dilahirkan,” kata Meghan.

Anak-anak Duke dan Duchess of Sussex ini tidak secara automatik menjadi putera atau puteri kerana peraturan yang ditetapkan sejak tahun 1917 – kecuali Ratu masuk campur.

Meghan berkata, kenyataan itu dibuat kepada Harry dan disampaikan kepadanya.

Tanya Oprah apakah pasangan itu bimbang anaknya akan “terlalu coklat” dan itu akan menjadi masalah, Meghan berkata: “Jika itu adalah andaian yang anda buat, itu adalah masalah yang cukup selamat”.

Meskipun diasak, Meghan enggan mendedahkan individu yang berkata demikian.

“Saya fikir ia akan menjejaskan mereka,” katanya sambil disampuk oleh Harry yang menyatakan perkara itu tidak akan dikongsi malah mengakui beliau juga terkejut pada awalnya.

Menurut Harry, tiada seorang pun keluarganya mengeluarkan kenyataan menyokong Meghan ketika isu perkauman dihadapi oleh isterinya daripada media.

“Tidak ada seorang pun dari keluarga saya yang mengatakan apa-apa selama tiga tahun itu. Itu sungguh menyakitkan,” kata Harry.

Bercakap mengenai hubungannya dengan keluarga diraja yang lain, Harry berkata, hubungannya dengan neneknta sangat baik dan mereka berdua sering bercakap tetapi hubungan dengan bapanya terjejas.

Harry benar-benar kecewa dengan bapanya meskipun begitu akan selalu menyayanginya walaupun banyak luka yang terjadi.

Dengan abangnya, Putera William – mereka berada di “jalan yang berbeza”.

Beliau juga memberitahu keluarganya telah memotong elaun kewangannya. – MalaysiaGazette