KUALA LUMPUR – Hormati hak pemilik dobi layan diri mesra muslim dan jangan kaitkan dengan isu rasis.

Itu tegas Penasihat Media Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Tuan Asmawi Tuan Umar.

“Itu hak pemilik premis jaga sensitiviti atau kesucian sesuatu premis, dia buat limitasi kepada customer yang dia perlu hatta orang macam ini dia letak agama dihadapan,” ujarnya kepada Malaysia Gazette hari ini.

Tuan Asmawi yang juga seorang pendakwah bebas memberitahu, orang bukan Islam tidak perlu menyebarkan dan memberi imej buruk mengenai perkara itu.

“Macam setiap orang ada cara sendiri, owner ini perlu pelanggan muslim sahaja dan kita tak perlu hurai soal najis atau kotor.. kita (orang bukan muslim) kena hormat,” katanya lagi.

Beliau menasihati orang ramai supaya jangan menjadikan ia sebagai isu murahan dan melibatkannya dengan perkauman.

Beliau juga yakin sekiranya ada pelanggan berbangsa bukan Melayu tetapi muslim, pemiliknya tidak ada halangan.

Mengambil contoh budaya berpoligami, katanya, setiap suami perlu menghormati hak isteri-isterinya dan begitu juga rakyat berbilang bangsa di Malaysia.

“Harmoni itu yang kita mahukan,” jelas Tuan Asmawi lagi.

Beliau juga mengambil contoh kes khalwat melibatkan pasangan bukan muslim yang tidak dikenakan hukuman syariah.

“Kita boleh pertikai kenapa bukan Islam tak kena tapi tidak (pertikai) kerana ia ajaran Islam dan kita akur,” katanya.

Beliau juga menggalakkan orang Islam di kawasan berhampiran premis dobi itu mempertahankan hak pemiliknya selain menyokong dengan menjadi pelanggannya.

Sebelum itu, tular di media sosial dan akhbar Cina mengenai tindakan sebuah dobi layan diri mesra Muslim di Muar, Johor yang mengehadkan pelanggannya kepada penganut Islam sahaja.

Sinchew Daily melaporkan, dobi itu pada mulanya meletakkan papan tanda “untuk pelanggan beragama Islam sahaja” sebelum menukarnya kepada “mesra Muslim” dalam tempoh seminggu.

Difahamkan, dobi tersebut telah beroperasi lebih daripada setahun dan asalnya dikunjungi pelanggan pelbagai kaum, tetapi mula meletakkan tanda “untuk pelanggan beragama Islam sahaja” kira-kira sebulan lalu.

Bagaimanapun difahamkan pengusaha bimbang pelanggan keturunan Cina mungkin mempunyai pakaian yang terlekat bulu anjing. – MalaysiaGazette

Dobi layan diri untuk Muslim sahaja cetus perdebatan

 

1 Komen

  1. Kalau kaum lain post iklan kerja, mahu ambil pekerja kaum yang fasih Bahasa tertentu…. melalak-lalak cakap rasis…. Tak pula pertahankan hak pemilik yg ada keperluan supaya pekerjanya fasih banyak bahasa. Oh Malaysiaku, bangsaku…

Comments are closed.