Hospital Pulau Pinang. - Gambar file

GEORGE TOWN – Hospital Pulau Pinang (HPP) sedang mengesan ahli keluarga atau waris lelaki yang meninggal dunia jangkitan kuman dalam paru-paru atau pneumonia di hospital itu pada 29 Ogos lalu.

Timbalan Pengarah Perubatan, Dr. Wong Khar Ming berkata, si mati dikenali sebagai Mohd Fadhil Haron, 37, dan alamat terakhir di 42 Jalan Setiawan, di sini.

“Lelaki berkenaan meninggal dunia pada jam 1.15 tengah hari akibat jangkitan kuman dalam paru-paru atau pneumonia.

“Jenazah lelaki itu ditempatkan di Jabatan Perubatan Forensik HPP kerana tidak dituntut oleh ahli keluarga atau waris,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan ahli keluarga atau waris lelaki itu diminta menghubungi Jabatan Forensik berkenaan di talian 04 222 5098 bagi maklumat lanjut. – MalaysiaGazette