ISLAMABAD – Ketegangan antara Amerika Syarikat (AS) dan Pakistan semakin ketara sejak kebelakangan ini dan yang terbaharu, Perdana Menteri, Imran Khan melahirkan rasa kesalnya terhadap Presiden Donald Trump.

Agensi melaporkan, Imran menyelar kenyataan Trump yang menuduh negaranya tidak menyalurkan atau memberi bantuan dalam apa jua bentuk walaupun dana berbilion disalurkan oleh AS.

Umum sedia maklum  Imran bukan sahaja lantang malah sejak menang Pilihan Raya Umum dan menjawat jawatan Perdana Menteri, beliau jauh lebih vokal dalam mengkritik kerajaan Trump.

Malah dalam laman sosial Twitter, Imran beberapa hari lepas telah membidas Trump selain memberi kata dua kepada beliau supaya berhenti mengkritik Pakistan.

Dua hari lepas, Trump dalam Fox News mempertahankan pemotongan bantuan kepada Pakistan atas sebab-sebab yang munasabah apatah lagi negara itu tidak membawa apa-apa manfaat kepada AS.

Malah Trump juga mendakwa kerajaan Pakistan sedia maklum dengan lokasi sebenar pengganas Osama Laden sebelum dibunuh oleh AS dalam negara itu pada 2011.

Bagaimanapun tuduhan dinafikan sekeras-kerasnya oleh Pakistan malah bertegas itu merupakan alasan yang sengaja diadakan oleh AS bagi memburukan mereka.

“Kita telah berikan Pakistan AS$1.3 bilion (RM5.45 bilion) setahun, Osama tinggal di Pakistan, kami menyokong Pakistan, tetapi mereka pula tidak beri kita apa-apa balik sebagai balasan sebenarnya.

“Kerana itu kita telah menghentikan bantuan ini kerana mereka tidak lakukan apa-apa untuk kita,” dakwa Trump.

Bagaimanapun, kata Imran, kerajaan beliau tidak pernah menyokong pemberontak Taliban Afghanistan yang melancarkan perang ke atas tentera disokong AS di Afghanistan.

“Dari menjadikan kami ‘kambing hitam’ atas kegagalan mereka, AS perlu melakukan penilaian serius mengapa, walaupun dengan tentera NATO sebanyak 140,000 orang ditambah 250,000 tentera Afghanistan.

“Malah ada dilaporkan AS$1 trilion (RM4.19 trilion) dibelanjakan dalam perang Afghanistan, Taliban pada hari ini lebih kuat berbanding sebelumnya,” katanya dalam Twitter.

Ketegangan semakin buruk  denganlagi hubungan sedia rapuh antara Islamabad dan Washington yang bertelagah berkali-kali berhubung perang di Afghanistan dan dakwaan sokongan Pakistan terhadap militan Islam. –MalaysiaGazette