E Sundra Rajan

MELAKA – Seorang ibu tunggal anak enam kerugian RM225,900 selepas wang simpanannya lesap ditipu ‘teman lelaki’ yang turut berjanji untuk bertunang dengannya.

Itu nasib malang dialami wanita berusia 48 tahun itu yang bekerja sebagai pegawai sumber manusia di sebuah syarikat swasta di negeri ini selepas terjebak dalam penipuan cinta atau ‘Love Scam’ Oktober tahun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan E Sundra Rajan berkata, kejadian bermula selepas ibu tunggal anak enam itu berkenalan dengan suspek warga tempatan berusia awal 50-an menerusi Facebook sebelum hubungan semakin rapat pada Januari lalu.

“Suspek juga meluahkan hasratnya bertunang dengan mangsa pada Januari lalu dan meyakinkan dan bagi mengaburi mangsa, suspek yang mendakwa bekerja di luar negara menunjukkan bukti memiliki sejumlah wang yang banyak.

“Sekitar Disember 2021 suspek cuba mengumpan mangsa dengan memintanya memindahkan wangnya daripada akaun West Business Finance berjumlah AS$42,000 (kira-kira RM176,442) ke akaun Bank Of China.

“Bagi mendapatkan kepercayaan mangsa, suspek memberikan segala maklumat akaun dan kata kunci yang berdaftar atas namanya kepada mangsa untuk melakukan transaksi pemindahan wang itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, suspek kemudian sekali lagi meminta mangsa memindahkan wang dari akaun sama ke akaun Maybank milik ibu suspek berjumlah RM10,000 tetapi transaksi itu gagal.

“Ketika inilah suspek mula berhelah dengan meminta pengadu mendahulukan wangnya untuk dipindahkan dan tanpa mengesyaki apa-apa, mangsa memindahkan RM10,900 ke akaun diberikan suspek melalui dua transaksi bermula 2 hingga 3 Januari lalu,” katanya.

Sundra Rajan berkata, lelaki itu kemudian sekali lagi meminta mangsa memindahkan wang sebanyak RM2.5 juta dari akaun suspek ke akaun sebuah firma guaman kononnya untuk membeli rumah di Setia Alam, Selangor.

Katanya, bagaimanapun transaksi itu juga tidak berjaya dan mangsa sekali lagi telah mendahulukan wang simpanannya melalui lapan transaksi berjumlah keseluruhan RM225,900 yang dipindahkan ke akaun diberikan suspek antara 7 sehingga 24 Januari 2022.

“Mangsa menyedari ditipu selepas wang simpanannya berjumlah RM225,900 dipindahkan ke akaun tidak dikenali dan membuat laporan di Balai Polis Bandar Hilir pada 26 Februari lalu,” katanya.

Sundra Rajan berkata, pihaknya masih mengesan suspek dipercayai warga tempatan yang juga duda dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette