Ibuyati (tengah) bersama Mujahid (kiri) dalam satu pertemuan di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Ibuyati (tengah) bersama Mujahid (kiri) dalam satu pertemuan di Universiti Pertahanan nasional Malaysia Kuala Lumpur pada tahun 2016 baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Jurucakap sekumpulan penyelidik, Wan Noor Hayati Wan Alias mendakwa pihaknya berjaya membuktikan dakwaan sesetengah ahli akademik yang meragui kenderaan komersil boleh menggunakan air sebagai bahan api adalah salah.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Ibuyati yang juga Tokoh Wartawan Rakyat itu berkata, pihaknya mengambil inisiatif dan perbelanjaan sendiri bagi membuktikannya sejak beberapa tahun lepas.

Kepada Malaysia Gazette, Ibuyati menceritakan proses beliau dan rakan-rakannya melakukan kajian demi kajian mengenai kuasa air menggantikan petrol.

Sebelum ini, kajiannya mendapati sudah ada pakar luar negara berjaya membina prototaip kenderaan menggunakan tenaga air namun penciptanya didakwa mati dibunuh.

WhatsApp Image 2018-08-07 at 5.08.16 PM
Kereta prototaip guna air yang dibina oleh Stanley Meyers.

Seperti contoh, model kereta  itu pernah direka oleh Stanley Meyers yang mati dibunuh, kata Ibuyati.

“Saya tidak tahu apa yang mereka melakukan dan bagaimana namun saya mendapat idea penyelesaian ini setelah merujuk kepada pengkaji, Hamid Yeop Zainuddin yang dalam masa yang sama berkongsi mengenai pembelajaran kaedah orang Melayu.

“Katanya, sehingga kini banyak yang mustahil dan tidak diketahui pada pembelajaran Barat tetapi telah lama boleh dilakukan oleh orang Melayu,” katanya kepada Malaysia Gazette hari ini.

“Ini kerana Barat menggunakan falsafah question to be answered tetapi Melayu menggunakan falsafah answer to be questioned dan tuhan sudah bagi panduan.

“Dalam al- Quran pun disebut, kenalilah diri kamu maka kamu akan kenali Aku. Itu jelas perintah kajilah diri kita, yang telah sedia ada.

“Jadi tak ada yang tidak ada jawapannya dan semuanya telah ada. Saya percaya kami mendapatnya kerana mengikut, mengkaji apa yang tuhan telah sediakan dan bukannya meniru atau membuat apa yang tuhan boleh buat.

“Perhatikan, semasa minum sirap ais, teh ais atau apa-apa sahaja yang ada air batu dalam gelas, air yang jernih akan terbentuk dengan sendirinya di luar gelas.

“Adakah gelas itu bocor? Tidak. Jadi dari manakah datangnya air itu?

Jika dengan mudah air boleh terbentuk, maka dengan mudah jugalah air boleh dipisahkan,” katanya merujuk kepada kaedah Waterfuel ciptaan kumpulan mereka.

Menurut Ibuyati, jika air terbentuk dari hidrogen dan oksigen yang sedia ada dalam udara dengan mudah maka air juga boleh dipecahkan kepada hidrogen dan oksigen juga dengan mudah.

“Jadi, hipotesis ini (air mampu ganti bahan api) menyangkal dakwaan yang kata mustahil dan ini yang kami berjaya lakukan,” katanya lagi.

Menceritakan latar belakang kajiannya, Ibuyati telah memulakan penyiasatannya pada tahun 2016 dengan meminta nasihat daripada Hamid yang juga seorang bekas pensyarah sebuah universiti awam tempatan.

“Ramai yang bertanya kenapa saya memilih Hamid berbanding jurutera dan profesor, saya menjawab pertama kerana mereka (profesor lain) telah terbukti gagal.

“Kedua, beliau (Hamid) dipecat tanpa gaji, tanpa pencen, tidak dibicarakan, tidak dibuktikan kesalahannya dan tidak dipanggil membela diri. Kejadian sedemikian rupa jelas menggambarkan sesuatu yang istimewa ada pada dirinya yang menjadi mangsa irihati oleh warga universiti lain,” ujarnya.

Malah Ibuyati mendakwa bekas Menteri Pendidikan sendiri mempersoalkan kenapa Hamid yang dianggapnya genius dipecat oleh universiti.

“Faktor ini amat menarik minat saya dan beliau (Hamid) pernah mengajar semua jenis jurutera di universitinya dahulu.

“Misalnya jurutera enjin, jurutera jentera, jurutera minyak, jurutera kimia, jurutera fizik, jurutera elektrikal, jurutera mekanikal, jurutera sivil dan pelbagai lagi bidang kejuruteraan.

“Jelas semua apa maklumat yang saya perlukan mengenai kereta, boleh saya peroleh daripada beliau seorang sahaja. Sudah tentulah akan memudahkan kajian saya.

“Tidak seperti pakar dan profesor yang tahu satu-satu disiplin sahaja dan terbukti jangkaan saya benar dan tepat,” katanya lagi.

MGF30062018_Temubual Eksklusif_09
Abdul Hamid Yeop Zainuddin menunjukkan sistem penggunaan air yang dapat menjimatkan penggunaan petrol pada sesebuah kenderaan diKuala Lumpur baru-baru ini. foto IQBAL BASRI

Selepas itu, menurut Ibuyati, pihaknya berjaya menghasilkan prototaip Waterfuel dan telah dan mengujinya sendiri selama tiga tahun dan sampai sekarang, ia masih boleh boleh digunakan tanpa sebarang masalah dan ia sudah melebihi tempoh jaminan selama tiga tahun.

Mengulas mengenai kegagalan pakar-pakar dan profesor termasuk Majlis Profesor Negara, Ibuyati berpendapat, mereka hanya ‘syok sendiri’ dan tidak melakukannya secara rentas kurikulum seperti dilakukan oleh Hamid di Jabatan Pendidikan Sains dan Teknik di universiti tempat bekerja sebelum ini.

“Seperti yang disahkan oleh Datuk Prof. Dr Mujahid dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia untuk menghasilkan satu liter hidrogen kita memerlukan 2,990 jam jadi mustahil untuk digunakan dalam enjin tetapi kami boleh menghasilkannya mengikut sebarang kadar tempoh masa yang dikehendaki.

“Jika hendak satu liter seminit pun boleh, satu liter 30 saat pun boleh, satu liter tiga minit pun boleh.

“Setakat prototaip ini, kami gunakan kadar yang cukup untuk membuktikan boleh digunakan dan boleh menjimatkan penggunaan minyak.

 

WhatsApp Image 2018-08-07 at 5.21.03 PM
Penyelidikan kumpulan Ibuyati menunjukkan tenaga elektrik tidak sampai 3 amprea digunakan untuk Waterfuel seterusnya menafikan dakwaan Mujahid baru-baru ini.

“Ketika ini kami tidak dapat hendak menguji 100 peratus guna air kerana tiada sumber kewangan dan kekangan undang-undang Jabatan Pengangkutan Jalan,” katanya.

Justeru, Ibuyati bersedia menerima sebarang sumbangan daripada mana-mana pihak untuk melengkapkan siasatan dan kajiannya sehingga boleh dikomersilkan.

“Saya juga bersedia menyerahkan atau menjual hakcipta Waterfuel ini kepada sesiapa sahaja asalkan boleh dimanafaatkan di seluruh dunia. Sudah tentulah keutamaan mahu bagi kepada kerajaan untuk kemudahan rakyat Malaysia,” katanya.- MalaysiaGazette

Mustahil kereta pakai air boleh dikomersilkan

Ibarat beri ‘minyak percuma’ jika guna Waterfuel

EKSKLUSIF: Kereta nasional ketiga perlu guna tenaga air