Hakim Hakim Joan Donoghue. foto Twitter

BELANDA – Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di The Hague telah mengarahkan Rusia untuk menghentikan pencerobohannya ke atas Ukraine.

Mahkamah itu menyatakan ia tidak melihat sebarang bukti untuk menyokong justifikasi Kremlin untuk berperang kerana Ukraine melakukan pembunuhan beramai-ramai dan intimidasi (ugutan) terhadap Rusia.

Mahkamah memutuskan dengan 13 undi berbanding dua untuk perintah sementara bahawa “Persekutuan Rusia hendaklah menggantung serta-merta operasi ketenteraan yang dimulakan pada 24 Februari 2022 di wilayah Ukraine”.

Hanya hakim Rusia dan China yang mengundi untuk menentang perintah itu.

Presiden mahkamah, Hakim Amerika Syarikat, Joan Donoghue berkata mahkamah “tidak memiliki bukti yang menyokong” dakwaan Rusia mengenai pembunuhan beramai-ramai di wilayah Ukraine.

Walau apa pun, beliau berkata, adalah “meragukan” Konvensyen Genosid memberikan mana-mana kuasa untuk “penggunaan kekerasan unilateral di wilayah negara lain”.

Akibatnya, beliau berkata “mahkamah mempertimbangkan bahawa Ukraine mempunyai hak yang munasabah untuk tidak tertakluk kepada operasi ketenteraan oleh Persekutuan Rusia”.

Keputusan ICJ itu mengikut ketetapan di bawah Piagam PBB dan perintah mahkamah menyatakan ia “mewujudkan kewajipan undang-undang antarabangsa untuk mana-mana pihak yang mana langkah-langkah sementara ditangani”, tetapi ia tidak mempunyai cara penguatkuasaan.

Ia tidak mungkin mempengaruhi pilihan Putin, tetapi ia menyangkal secara berwibawa terhadap alasan yang sering digunakannya untuk memulakan perang.

“Ukraine memperoleh kemenangan sepenuhnya dalam kesnya terhadap Rusia di mahkamah keadilan antarabangsa. ICJ mengarahkan supaya segera menghentikan pencerobohan itu. Perintah itu mengikat di bawah undang-undang antarabangsa. Rusia mesti mematuhi segera. Mengabaikan perintah itu akan mengasingkan Rusia lebih jauh lagi,” kata Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy menerusi Twitter.

Perintah itu sebagai tindak balas kepada rayuan Ukraine kepada mahkamah pada 26 Februari, meminta keputusan segera mengenai dakwaan Rusia yang tidak disokong bahawa tentera Ukraine melakukan pembunuhan beramai-ramai yang disokong oleh sekutu Rusia di Luhansk dan Donetsk, wilayah di timur Ukraine, sebagai justifikasi untuk serangan itu.

Rusia tidak menghadiri perbicaraan awal kes itu pada 4 Mac 2022 dan peguamnya tidak hadir untuk mendengar keputusan itu pada hari Rabu.

Sebaliknya mereka menghantar surat kepada mahkamah mendakwa ICJ tidak mempunyai bidang kuasa ke atas kes itu kerana Rusia secara rasmi mewajarkan serangan itu dalam surat kepada Setiausaha Agung PBB atas alasan mempertahankan diri, bukan atas pembunuhan beramai-ramai.

Donoghue memutuskan bahawa “ketidakhadiran salah satu negeri yang berkenaan tidak boleh dengan sendirinya menjadi penghalang kepada” keputusan sementara.

Hakim juga menolak hujah Rusia mengenai bidang kuasa di bawah Konvensyen Genosid, menunjukkan kerap kali Vladimir Putin dan pegawai kanan Rusia lain mendakwa kononnya pembunuhan beramai-ramai adalah punca serangan itu.

“Mahkamah membuat kesimpulan bahawa prima facia ia mempunyai bidang kuasa menurut artikel sembilan Konvensyen Genosid untuk melayan kes itu,” kata Donoghue. – The Guardian (https://www.theguardian.com/world/2022/mar/16/un-international-court-of-justice-orders-russia-to-halt-invasion-of-ukraine)