KUALA SELANGOR – Biarpun belum memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berikrar mahu membantu penduduk Kuala Selangor untuk menghadapi musim banjir.

Sebagai langkah awal, Tengku Zafrul sudah pun menggerakkan jentera Barisan Nasional (BN) Kuala Selangor untuk memantau banjir di sekitar kawasan Parlimen itu di samping bekerjasama dengan agensi berkaitan.

“Kita akan terus memantau apa yang berlaku di sini, malah kerajaan terus memantau keadaan ini dan berdasarkan Nadma, kita bersedia berdepan dengan sebarang kemungkinan yang lebih buruk.

“Saya dan rakan-rakan saya di sini turun ke padang dan lapangan untuk memahami apa isu-isu yang terpaksa dihadapi. Semalam pun kita hubungi bomba, dan hari ini pun kita hubungi JPS.

“Sebelum ini pun Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican pun ada turun mengatakan bomba sudah bersedia.

“Saya sendiri cuba memanjangkan isu ini dan cuba cari penyelesaian jika berlaku banjir di Kuala Selangor,” katanya pada sidang media di Kampung Ijok, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, sebagai calon BN Parlimen Kuala Selangor, Tengku Zafrul cuba memahami masalah setempat yang masih gagal diselesaikan penyandang kerusi itu dan ia antara penekanan yang diberikan dalam manifestonya.

“Kita ada beberapa hari lagi berkempen dan saya komited untuk berjumpa seberapa ramai pengundi dan kita baru sahaja lancarkan manifesto di Kuala Selangor dan kita tahu bahawa BN juga telah melancarkan manifesto sebelum ini.

“Manifesto kita untuk Kuala Selangor kita memberi fokus kepada isu harian, kita menyenaraikan 50 isu yang boleh diselesaikan jika saya diberi mandat pada 19 November ini,” katanya.

Meskipun penyandang kerusi parlimen itu, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mempunyai banyak kelebihan termasuk orang lama dalam politik, namun rekod prestasi Tengku Zafrul sebagai Menteri Kewangan dan agensi korporat mampu memberi saingan kepada pemimpin Parti Amanah negara itu, ujarnya.

“Kita mahu lihat lebih banyak pembangunan di kawasan ini. Saya akan fokus kepada isu yang dibangkitkan penduduk di sini,” kata beliau. – MalaysiaGazette