Seramai 2,897 orang pengembara yang diarah menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah masih belum tampil ke Pusat Kesihatan Daerah (PKD) untuk mendapat pelepasan.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengeluarkan protokol am bagi pengembara yang perlu dipatuhi bermula 1 April ini.

Antara protokol utama adalah, pengembara dikehendaki memuat turun dan mengaktifkan aplikasi MySejahtera.

Menurut Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, pengembara juga dalam masa yang sama dikehendaki melengkapkan deklarasi perjalanan termasuk maklumat vaksinasi yang boleh diakses menerusi ikon Traveller dalam MySejahtera.

Tambah beliau, pengembara melakukan ujian RT-PCR dua hari sebelum berlepas dan memuat naik ujian ke dalam aplikasi berkenaan.

“Manakala bagi pengembara yang pernah dijangkiti dalam tempoh enam hingga 60 hari, mereka perlu melaporkan dan muatnaik keputusan RTK Antigen Profesional yang telah dilakukan dua hari sebelum berlepas.

“Kanak-kanak berumur bawah 6 tahun tidak perlu menjalani ujian pra pelepasan dan ujian semasa ketibaan,” katanya ketika sidang media yang berlangsung di Parlimen.

Selain itu kata Khairy, pengembara bukan warganegara perlu mempunyai perlindungan insuran Covid-19.

Jelasnya, pengembara akan menerima paparan Kad Pengembara di dalam MySejahtera sebagai kebenaran kemasukan ke dalam negara setelah selesai melaksanakan prosedur berkenaan.

“Bagi pengembara yang tiada paparan kad pengembara atau arahan Arahan pengawasan dan pemerhatian (Home Surveillance Order, mereka tidak dibenarkan meneruskan perjalanan,” katanya lagi.

Manakala, pengembara yang tiada atau tidak lengkap vaksinasi akan mendapat arahan pengawasan dan pemerhatian selama lima hari.

Setibanya pengembara di pintu masuk antarabangsa, saringan demam dengan imbasan thermal scanner atau rujukan kendiri kepada petugas kesihatan akan dilakukan.

Sementara itu Khairy berkata, Pengembara dikehendaki menjalani ujian RTK-Ag profesional sama ada di fasiliti kesihatan swasta di pintu masuk antarabangsa atau di luar dalam tempoh 24 jam.

Keputusan itu perlu dimuat naik ke dalam MySejahtera, katanya lagi.

“Kalau pengembara tidak melakukan ujian itu dalam tempoh 24 jam, status dalam MySejahtera akan menjadi merah dan mereka tidak boleh masuk ke premis dan yang penting mereka melakukan kesalahan dan boleh diusir keluar,” Khairy berkata.

sekiranya disahkan positif Covid-19 pengembara dengan lengkap vaksinasi akan diberi perintah menjalani kuarantin selama tujuh hari, sementara yang tidak lengkap atau tiada sejarah vaksinasi akan menjalani kuarantin 10 hari.-MalaysiaGazette