Khaled Nordin

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi menegaskan masih di peringkat saranan sebagai rujukan IPT dalam membangunkan Garis Panduan Aktiviti Hiburan (Konsert) di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT).

Ia selaras pengumuman Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin supaya garis panduan menjalankan aktiviti hiburan (konsert) di IPT perlu dirangka dan disediakan oleh IPT melalui penglibatan Majlis Perwakilan Pelajar/Kesatuan Mahasiswa (MPP/KM).

Jabatan Pendidikan Tinggi, sehubungan itu mengarahkan pengurusan IPT untuk memastikan MPP/KM dilibatkan dalam proses perangkaan garis panduan agar mengambil kira suara dan keperluan mahasiswa serta kesesuaian di setiap IPT dan lokaliti sebelum ia diguna pakai secara rasmi di peringkat IPT masing-masing.

Katanya, ruang dan peluang yang diberikan kepada pelajar ini sebagai elemen pemerkasaan mahasiswa selaku pemegang taruh utama.

Hal ini sekali gus menepati langkah agenda pemerkasaan mahasiswa yang sedang dibawa oleh Menteri Pendidikan Tinggi, kata JPT. – MalaysiaGazette