Ketika ini semua calon bertanding sibuk dengan program walkabout dan ziarah kasih.

BATU PAHAT – Calon Barisan Nasional (BN), Ishak Siraj mempunyai agenda besar di Batu Pahat yang mahu dilaksanakannya jika beliau diberi mandat oleh pengundi sebagai ahli Parlimen pada 19 November ini.

Anak jati dari Kampung Sungai Jambi, Rengit berusia 61 tahun ini berhasrat mahu menjadikan Batu Pahat sebagai sebuah daerah yang menjadi tumpuan pelabur-pelabur asing dalam pelbagai bidang.

Ini kerana katanya, jika ramai pelabur datang ke daerah itu ia akan membawa limpahan ekonomi menjadi lebih besar di Batu Pahat sekali gus dapat mewujudkan peluang pekerjaan yang banyak kepada rakyat di daerah ini.

“Kita ada kedai rakyat. Kedai rakyat itu kita akan perindahkan semula dan kita akan perbanyakkan lagi (kedai rakyat) di setiap DUN-DUN (Dewan Undangan Negeri) yang ada bagi memberi peluang masyarakat untuk berniaga.

“Kita juga rancang untuk perhebatkan peniaga food truck di Batu Pahat agar mereka dapat menjalankan perniagaan secara tersusun rapi dan cantik sekaligus, menarik perhatian masyarakat setempat untuk datang ke tempat mereka berniaga,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette selepas mengadakan walkabout di Pasar Awam Bandar Penggaram di sini, hari ini.

Ditanya mengenai tawaran kepada golongan muda pula Ishak berkata, golongan itu tidak akan dipinggirkan sebaliknya, mereka terus didekati.

Katanya, beliau berhasrat mahu memperbanyakkan pembinaan dewan-dewan orang ramai untuk kegiatan orang muda seperti penyediaan lebih banyak gelanggang futsal dan sepak takraw.

Semua tambahnya, ada terkandung dalam manifesto beliau sendiri yang akan dilancarkan dalam masa terdekat.

Sementara itu ditanya mengenai cabaran yang dihadapi dalam berkempen ekoran beliau dikatakan memberi tamparan hebat kepada Datuk Rashid Hasnon, penyandang kerusi Parlimen di kawasan itu,  Ishak memberitahu, tidak menjadi masalah kepadanya kerana beliau sendiri dikenali masyarakat tempatan.

Ujarnya, berbekalkan pengalaman sebagai seorang penghulu, beliau tidak kekok menggunakan kesempatan untuk bertemu seberapa ramai pengundi sebelum tiba saat akhir untuk berkempen.

Jelasnya, ketika ini beliau mendapat reaksi positif khususnya dalam kalangan pengundi Cina yang rata-rata memberitahu, mahu negara ini diterajui semula oleh BN yang merupakan satu-satunya parti boleh memberikan kestabilan dan kemakmuran kepada rakyat Malaysia. – MalaysiaGazette