Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador

KUALA LUMPUR – Rakyat di negara diarahkan untuk memaklumkan pergerakan mereka dari satu negeri ke negeri lain berikutan berkuatkuasanya perintah kawalan pergerakan bermula tengah malam ini.

Malah cadangan untuk pulang ke kampung halaman dengan ‘alasan’ yang kukuh serta dianggap sebagai satu keperluan harus mendapat kebenaran terlebih dahulu.

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, arahan ini sebenarnya bagi memastikan pergerakan dalam kalangan rakyat berikutan meruncingnya wabak Covid-19 yang kini diisytiharkan pandemik.

“Ini adalah satu keperluan memaklumkan kepada pihak polis tentang pergerakan anda dari satu tempat ke satu tempat dan ketika ini kita fokus perjalanan antara negeri.

“Kita ada sediakan borang dan prosesnya mudah sahaja senang diikuti, bagaimanapun kita bukanlah beri arahan ketat mana jadi harap anda tidak pula salah guna atau bohong ketika isi dokumen perjalanan.

“Dokumen permohonan perjalanan domestik hanya boleh didapati di balai polis berdekatan tidak terdapat dalam talian.

“Sebenarnya jika sesuka hati rakyat bergerak ke sana sini jadinya perintah kawalan pergerakan itu sudah gagal.

“Ini juga mengapa kita lakukan perkara ini, kita hendak tangani Covid-19 ini, harapnya dapat beri kerjasama penuh agar semuanya berjalan lancar,” katanya dalam sidang media khas sebentar tadi.

Semalam Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengeluarkan arahan Perintah Kawalan Pergerakan bermula esok sehingga 31 Mac ini.

Kata Abdul Hamid lagi, pihak polis melarang sebarang permintaan berkaitan niat melancong dalam negeri walaupun ianya melibatkan pembelian tiket ke destinasi tertentu lagi-lagi cuti sekolah sebelum ini.

“Kita tidak akan layan permintaan perlancongan kononnya telah membeli tiket melancong seperti ke Pulau Perhentian, Desaru dan sebagainya. Walaupun ianya telah dibeli sebelum krisis ini.

“Kita sudah keluarkan arahan kawalan pergerakan jadinya permintaan seperti ini memanglah tidak boleh, kena faham.

“Sekiranya mahu menjemput sesiapa keluarga atau sahabat handai dari lapangan terbang kita boleh terima.

“Untuk perincian lebih lanjut untuk jarak dekat seperti Lembah Klang contoh Kajang-KL akan diberitahu kemudian, kita fokus dari satu negeri ke negeri lain,” ujarnya lagi.

Antara proses yang perlu dilalui oleh seseorang bagi memaklumkan perjalanan termasuk hadir ke balai polis berdekatan, maklum destinasi serta sebab dan keperluan.

Ketua Balai Polis akan keluarkan dokumen perjalanan itu. -MalaysiaGazette