Ekrem Imamoglu mengangkat tangan kepada para penyokongnya selepas dikatakan memenangi pilihan raya di Istanbul. foto Reuters

ISTANBUL – Parti pembangkang Turki memenangi pilihan raya Datuk Bandar Istanbul yang dijalankan semula, menurut keputusan tidak rasmi.

Kemenangan itu jika disahkan akan memberi tamparan kepada Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan.

Ini kerana, pilihan raya itu diadakan sekali lagi selepas parti yang mewakili Erdogan kalah tipis.

Dengan lebih daripada 99% undi dikira, calon Parti Rakyat Republikan (CHP), Ekrem Imamoglu mendahului dengan kira-kira 54 peratus undi, kata agensi berita negeri Anadolu.

Manakala, Binali Yildirim, calon dari Parti Pembangunan dan Keadilan (AKP) pula mendapat 54 peratus.

Imamoglu yang mengulas keputusan awal itu berkata: “Seluruh Turki memenangi pilihan raya, bukan kumpulan atau parti. Anda berdiri untuk tradisi demokrasi lebih daripada seratus tahun, terima kasih Istanbul,” katanya.

Lembaga Pilihan Raya Turki berkata, keputusan rasmi dijangka dikeluarkan pada pagi Isnin.

Sementara itu, para penyokong Imamoglu berarak di jalan-jalan di Istanbul sebaik sahaja pengumuman tersebut diumumkan bagi meraikan kemenngan tersebut,

Beliau yang akur dengan keputusan tidak rasmi itu berkata: “Saingan saya nampaknya menjadi pemimpin pilihan, saya mengucapkan tahniah kepadanya. Pilihan raya ini menunjukkan demokrasi berfungsi di Turki. Saya berharap Ekrem İmamoglu akan memberikan perkhidmatan yang baik kepada rakyat. Untuk perkhidmatan yang baik, kami akan menolongnya”.

Erdogan juga mengucapkan tahniah kepada Imamoglu menerusi akaun Twitternya.

Namun, katanya, AKP akan terus berusaha mencapai matlamatnya “tanpa melepaskan demokrasi, kedaulatan undang-undang, keamanan, kekayaan dan kestabilan.” – MalaysiaGazette