Kakitangan sentiasa komited dalam menjaga alam sekitar dan berusaha menjadikan kawasan batu karang lebih subur bagi memastikan pengurusan sumber perikanan dapat mampan dan berdaya saing

MERSING – Jabatan Perikanan Johor telah mengadakan pemetaan habitat terumbu karang, program pembersihan jaring yang ditinggalkan (ghost net), restorasi karang, penyelenggaraan dan pemantauan kawasan konservasi di taman laut di negeri itu sempena Hari Kesedaran Terumbu Karang Sedunia semalam.

Pengarah Perikanan Negeri Johor,  Zainudin Abdul Wahab berkata, tindakan tersebut diambil bagi menjaga kehidupan marin terutamanya di kawasan yang mempunyai batu karang bagi memastikan khazanah negara terus terpelihara.

Menerusi satu kenyataan, program yang dilaksanakan itu melibatkan Pusat Penyelidikan Taman Laut Negara, Institut Penyelidikan Perikanan, Jabatan Perikanan Selangor, Jabatan Perikanan Negeri Sembilan, Jabatan Perikanan Melaka dan Pusat Ikan Hiasan Port Dickson.

Selain itu ia turut membabitkan komuniti Pulau Besar dan tiga badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Tengah Island Conservation (TIC), Econinja dan Reefcheck.

Kata kenyataan itu, program yang dijalankan ialah kursus pemetaan habitat terumbu karang di Pulau Tinggi, pembersihan ghost net beranggaran 100 meter panjang, restorasi karang di perairan Pulau Besar dan penyelenggaraan serta Pemantauan Kawasan Konservasi di Pulau Tinggi.

Jabatan Perikanan, jelasnya, sentiasa komited dalam menjaga alam sekitar dan berusaha menjadikan kawasan batu karang lebih subur bagi memastikan pengurusan sumber perikanan mampan dan berdaya saing. – MalaysiaGazettte