Gambar hiasan

JAKARTA – Pentadbiran Jakarta dijangka mengeluarkan polisi untuk mewajibkan semua pesakit Covid-19 di bandaraya berkenaan untuk dikuarantin di pusat-pusat kuarantin yang telah ditetapkan termasuk hospital sementara di bekas perkampungan atlet Kemayoran, Jakarta Tengah.

Di bawah peraturan terbaharu itu, kuarantin sendiri tidak lagi dibenarkan sama ada mereka menunjukkan simptom atau tidak, kata Gabenor Jakarta, Anies Baswedan.

“Selama ini, hanya pesakit yang tinggal di kawasan sesak sahaja yang diwajibkan kuarantin di kemudahan yang telah disediakan kerajaan.

“Selepas ini, setiap pesakit Covid-19 akan dikuarantin di kemudahan-kemudahan yang telah disediakan kerajaan supaya kita boleh memutuskan rangkaian jangkitan dengan lebih baik,” katanya.

Tambahnya, pesakit-pesakit yang mempunyai simptom sederhana atau teruk diwajibkan tinggal di hospital manakala pesakit yang mempunyai simptom ringan atau tanpa simptom akan diasingkan di perkampungan atlet.

Tambahnya, peraturan terbaharu itu dilaksanakan kerana kegagalan para pesakit untuk melakukan kuarantin sendiri.

Selain itu, terdapat pesakit yang tidak mampu melakukan kuarantin sendiri dengan baik mengikut protokol kesihatan kerana berkongsi rumah dengan ahli keluarga yang lain. – Agensi