Dr Mohd Khairuddin Aman Razali
Dr Mohd Khairuddin Aman Razali

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa tidak boleh menyalahkan pihak media kononnya telah membuat pentafsiran yang salah terhadap kenyataan beliau.

Sebaliknya, pendirian beliau yang menolak campur tangan penguatkuasa atau kerajaan terhadap kelakuan dibuat dalam ruang peribadi itu sememangnya menatijahkan maksud larangan terhadap tindakan intipan dan serbuan ke atas perlakuan maksiat khalwat.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, penegasan kononnya perkara tersebut berada di bawah kuasa kerajaan negeri adalah sekadar alasan yang separuh benar.

Ini kerana, katanya, jenayah syariah khalwat yang berlaku di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur adalah di bawah kerajaan Persekutuan iaitu Dr Mujahid selaku menteri agama yang bertanggungjawab terhadapnya.

“Adakah menteri agama ini akan membiarkan penguatkuasa menjalankan tugas mengetuk pintu-pintu hotel sekiranya ada aduan yang dibuat atau operasi tersebut akan dihalang oleh beliau?

“Jelas boleh difahami daripada kenyataan beliau itu ialah tindakan tersebut (intipan atau serbuan) tentu tidak akan berlaku di Wilayah Persekutuan di bawah kawalannya,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, semalam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus berkata, itulah juga kesimpulan yang dibuat oleh para wartawan sehingga dijadikan tajuk utama di banyak media cetak dan media elektronik.

Semalam, sebagaimana dilaporkan sebuah akhbar berbahasa Inggeris, Dr Mujahid dipetik sebagai berkata, tiada lagi ketukan pintu di waktu tengah malam oleh pihak berkuasa agama yang menyiasat laporan khalwat atau salah laku lain.

Menteri agama itu dilaporkan berkata, apa yang dilakukan oleh orang Islam di belakang pintu tertutup bukanlah urusan pihak kerajaan.

“Katakan anda melakukan sesuatu dalam ruang peribadi anda, saya tidak akan campur tangan.

“Sebagai contoh, pengambilan alcohol adalah satu kesalahan bagi seorang Muslim, tetapi jika anda melakukan perbuatan itu di dalam kawasan anda, maka sebagai sebahagian daripada kerajaan, saya tidak akan campur tangan,” katanya dalam laporan akhbar berkenaan. – MalaysiaGazette