Foto Instagram Janna Nick.

KUALA LUMPUR – Pelakon dan pengacara, Janna Nick akan tampil pada sidang media secara virtual pukul 2.30 petang ini selepas terpalit dengan kontroversi artis K-pop,

Dia mengumumkan penganjuran sidang media itu dalam Instagram (IG).

Sejak akhir-akhir ini, pengacara Melodi itu dituduh mempersendakan kematian bintang K-pop, mendiang Kim Jong-Hyun dan seolah menyamakan anggota kumpulan Blackpink, Lisa Manoban sebagai ‘Lisa Blackpig’.

Mengulangi penafiannya dua tahun lalu, Janna yang mengaku peminat ‘budaya Korea Selatan’ menolak semua dakwaan, malah, terbaharu, pelakon itu bersumpah sambil memegang senaskhah al-Quran.

Dalam kenyataannya Isnin lalu, Janna menyatakan sudah membuat laporan polis berhubung dakwaan fitnah, ugutan dan serangan peribadi yang mengaibkan serta merosakkan reputasinya di Malaysia dan di luar negara.

Janna dilaporkan berkata, beliau difahamkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) sudah memulakan siasatan bagi mengenal pasti individu dipercayai penyebar fitnah, biarpun mereka dikatakan cuba berselindung di sebalik nama atau akaun samaran.

Selasa lalu, laman sembang kecoh konon akaun IG Janna disekat gara-gara kontroversi artis K-pop.

Bagaimanapun, akaun IG Janna yang sebelum ini dinyahaktif, boleh diakses dengan pelakon Marry Me Senorita itu memuat naik entri mempromosikan drama Marry Me Senorita.

Janna kini memiliki 6.2 juta pengikut IG . – MalaysiaGazette